top of page
nabalunews

Penguatkuasaan perlindungan haiwan liar perlu diperketat di lapangan terbang

1 November 2024


PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar, menggesa pihak berkuasa untuk memperketat

penguatkuasaan undang-undang perlindungan haiwan liar, termasuk meningkatkan prosedur pemeriksaan di lapangan terbang bagi mencegah penyeludupan spesies terancam.


“EAIC akan meneliti punca sebenar kelemahan dalam sistem pengawasan dan penguatkuasaan yang sedia ada dan mengesyorkan langkah proaktif yang perlu diambil untuk memperbaiki keadaan bagi memastikan integriti pegawai penguat kuasa dipelihara dan perlindungan spesies terancam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.


Mengulas laporan baru-baru ini mengenai penyeludupan pelbagai spesies ‘kura-kura emas’ sebagai komoditi haram, beliau menekankan pentingnya penyelenggaraan mesin pengimbas di pintu masuk negara agar berfungsi dengan optimum bagi mengesan aktiviti penyeludupan.


Laporan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendedahkan bahawa sindiket penyeludupan menggunakan ‘keldai upahan’ untuk membawa masuk kura-kura terancam melalui penerbangan komersil dari luar negara.


Biasanya, haiwan ini disembunyikan dalam bagasi, dan terdapat kes di mana suspek berjaya melepasi mesin pengimbas sinar-X di lapangan terbang.


Ismail menyatakan bahawa EAIC memandang serius isu ini kerana ia menunjukkan kelemahan dalam sistem pengawasan sedia ada, yang boleh menjejaskan integriti agensi penguatkuasaan.


“Kerjasama yang lebih erat antara agensi penguatkuasaan dan pihak berkaitan juga penting untuk meningkatkan kecekapan dalam menangani isu ini.


“Selain itu, kerjasama dengan agensi antarabangsa dan organisasi pemeliharaan perlu dipertingkatkan untuk bertukar maklumat dan strategi dalam membanteras jenayah penyeludupan haiwan terancam,” tambahnya.

Comments


bottom of page