PENGUATKUASAAN SOP BAHARU AKAN JEJASKAN PENDAPATAN SEKTOR MINYAK SAWIT SABAH: MEOAPENGUATKUASAAN SOP BAHARU AKAN JEJASKAN PENDAPATAN SEKTOR MINYAK SAWIT SABAH: MEOA
top of page
  • nabalunews

PENGUATKUASAAN SOP BAHARU AKAN JEJASKAN PENDAPATAN SEKTOR MINYAK SAWIT SABAH: MEOA


Gambar Hiasan

25 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR: Dengan harga minyak sawit mentah (MSM) pada masa ini diniagakan sekitar RM3,000 satu tan, Sabah berpotensi kehilangan pendapatan RM900 juta sebulan berikutan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi mengekang lonjakan penularan pandemik COVID-19.


Kerajaan negeri Sabah baru-baru ini mengumumkan SOP baharu untuk sektor kelapa sawit negeri itu, antaranya mengehadkan hanya 50 peratus kapasiti kehadiran pekerja dan waktu kerja yang lebih pendek setiap hari, bermula 6 pagi hingga 6 petang untuk rantaian bekalan pemprosesan.


Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) menganggarkan sekiranya keseluruhan rantaian bekalan minyak sawit di Sabah dikekang menurut peraturan baharu itu, negeri Sabah boleh menyaksikan pengeluaran MSM merosot sebanyak 300,000 tan sebulan yang ditetapkan berbanding musim tanaman yang tinggi pada masa ini.


"Pada harga MSM yang menguntungkan hampir RM3,000 setiap tan, anggaran kerugian pendapatan boleh menjadi RM900 juta sebulan atau RM30 juta sehari dan kerugian ini tidak mengambil kira kerugian isirong sawit," katanya dalam satu kenyataan.


Persatuan itu berkata sejak tahun 2005, kerajaan negeri telah memungut 7.5 peratus cukai jualan ke atas MSM daripada pihak berkepentingan kelapa sawit dan dalam beberapa tahun ini, purata jumlah jualan cukai boleh kutip daripada MSM untuk dana negeri boleh mencapai antara RM800 juta hingga RM1 bilion.


"SOP baharu yang diperkenalkan ini juga akan memberi kesan kepada hasil cukai jualan negeri dan melihat kepada potensi kerugian pendapatan RM900 juta sebulan daripada MSM, ia juga akan menjuruskan kepada kerugian RM68 juta sebulan dalam kutipan cukai jualan Sabah," jelas persatuan itu.


Ia berkata potensi kerugian dalam pendapatan cukai ini tidak dapat membantu dalam mengurangkan pandemik Covid-19 di Sabah pada masa ini.


"Tidak perlu bagi sektor perladangan untuk mematuhi peraturan 50 peratus kehadiran tenaga kerja apabila jarak sosial satu meter mengikut undang-undang, nisbah pekerjaan satu pekerja untuk tujuh hektar dan jarak antara setiap ladang sembilan meter dalam ladang kelapa sawit, semuanya telah diamalkan".


MEOA menekankan terdapatnya keunikan sektor kelapa sawit - dengan lokasinya yang terpencil dan tersebar luas terutamanya dalam landskap luar bandar, penjarakan sosial telahpun menjadi sifat kerja dan norma operasinya.


"Kami merayu agar kerajaan negeri Sabah untuk mengkaji dan segera menarik balik sekatan SOP baharu ini yang turut merangkumi sektor kelapa sawit.


"Sekiranya gagal berbuat demikian, bukan sahaja ia melibatkan tiada kawalan ke atas lebih 220,000 pekerja ladang, implikasi sosial, ekonomi dan politik juga mungkin boleh hancur. SOP baharu ini akan menyaksikan pekebun kecil dan peserta saiz pertengahan dalam sektor minyak sawit negeri menanggung sebahagian besar kerugian berkenaan dalam tempoh ini,” katanya.


Statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2019 menunjukkan bahawa sektor kilang minyak sawit Sabah memproses 24 juta tan buah tandan segar berasal dari pekebun kecil dan penanam yang menghasilkan 5.04 juta tan MSM dan 1.15 juta tan isirong sawit. - Bernama

bottom of page