top of page

Pengurusan Permohonan MyKad Palsu, Sembilan Individu Ditahan

  • nabalunews
  • 38 minutes ago
  • 2 min read

20 Mei 2026


KOTA KINABALU: Polis menahan sembilan individu selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengurusan permohonan kad pengenalan palsu, baru-baru ini.


Sepanjang operasi Op Pugo bermula 7 Mei lalu itu, semua yang ditahan melibatkan warga Filipina dan Indonesia termasuk empat wanita berusia lingkungan 36 hingga 61 tahun.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi dilaksanakan susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita berusia 30 tahun pada 13 Mac lalu.

Katanya, mangsa mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM20,000 selepas semakan mendapati tiada sebarang rekod permohonan kad pengenalan atas nama mangsa di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


“Hasil siasatan, polis turut berjaya merampas pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan membabitkan permohonan MyKad.


“Antara rampasan yang dibuat ialah 85 keping pelbagai dokumen permohonan kad pengenalan MyKad, 54 keping salinan kad pengenalan, 45 keping salinan dokumen pemohon MyKad, 24 keping gambar pemohon serta 10 set dokumen bertulis Program Khas Penempatan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.


Selain itu, Jauteh berkata, polis turut merampas sembilan keping salinan sijil lahir, enam keping sijil lahir asal, tujuh keping salinan pasport pelbagai nama, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, lima keping kad pengenalan palsu serta tiga buah cop Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


“Turut disita dalam operasi tersebut ialah tiga buah kenderaan, sebuah set komputer, sebuah pencetak dan dua buah stampad yang dipercayai digunakan bagi memproses dokumen berkaitan,” tegasnya.


Sehubungan itu, Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.


“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


“Siasatan turut melibatkan Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.


Sehubungan itu, Jauteh menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan pemalsuan dokumen pengenalan diri yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan berkenaan juga dinasihatkan supaya tampil membantu siasatan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page