top of page

Pengusaha feri, bot penumpang, RORO terima subsidi diesel bermula 1 Januari ini

nabalunews

22 Disember 2024


PUTRAJAYA : Kira-kira 40 pengusaha feri, bot penumpang dan perkhidmatan feri Roll On Roll Off (RORO) di pulau-pulau utama termasuk Labuan bakal menerima subsidi diesel berkuat kuasa 1 Januari 2025 kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.


Beliau berkata para pengusaha yang terbabit boleh mengemukakan tuntutan pertama subsidi diesel pada atau sebelum 20 Februari.


"Harga siling diesel bersubsidi bagi feri, bot penumpang dan perkhidmatan feri RORO di pulau-pulau utama ditetapkan pada RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi sebanyak 50 sen seliter," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat, lapor Bernama.


Katanya subsidi itu akan dibekalkan di laluan-laluan strategik perkhidmatan pengangkutan itu iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang.


"Pemberian subsidi itu sejajar dengan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk memastikan keberlangsungan dan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam," katanya.


Loke berkata subsidi itu dijangka memberikan impak positif dengan mengurangkan beban kos operasi, khususnya melibatkan kos bahan bakar.


Antara syarat permohonan ialah pengusaha mesti berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat bunker atau skid tank yang disahkan pihak berkuasa.


Pengusaha yang layak perlu mengemukakan permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.


Selain itu, tuntutan subsidi diesel perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF) pada setiap bulan.


Pengusaha juga perlu mengemukakan dokumen tuntutan yang disahkan oleh Jabatan Laut ke MOF serta satu salinan kepada stesen kastam terdekat untuk proses verifikasi tidak lewat daripada 20 hari bulan bagi bulan berikutnya.


Loke berkata meskipun pemberian subsidi bertujuan meringankan kos operasi namun menjadi tanggungjawab pengusaha untuk memastikan mutu perkhidmatan, dan aspek keselamatan dipertingkatkan agar memberi perkhidmatan yang lebih efisien serta berdaya saing kepada pengguna.


Beliau sekali lagi memberi amaran kepada pengusaha yang mendapat subsidi yang menaikkan harga tambang tanpa persetujuan Kementerian Pengangkutan, pemberian subsidi bukan sahaja boleh dibatalkan malah lesen operasi juga akan ditarik balik.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page