Peningkatan kadar bantuan subsidi FLYsiswa manfaatkan 60,000 pelajar
13 Disember 2024
PUTRAJAYA : Kira-kira 60,000 mahasiswa yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan akan mendapat manfaat daripada peningkatan kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa daripada RM300 kepada RM400 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan mahasiswa dari universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan tinggi serta kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) boleh membuat semakan kelayakan menerusi laman sesawang MOT di https://subsidiudara.mot.gov.my/) mulai tarikh tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mengumumkan kadar kenaikan inisiatif berkenaan yang mula dilaksanakan pada 2023 ketika merasmikan Karnival FLYsiswa dan Karnival Pengangkutan Siswa MADANI di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Menurut kenyataan itu, sejak pelaksanaan FLYsiswa hingga 10 Disember lalu, sebanyak 74,500 pelajar atau 73 peratus daripada keseluruhan 102,150 pelajar yang layak telah menerima manfaat bantuan subsidi tiket penerbangan itu.
Menurut MOT, ia merangkumi 37,551 pelajar atau 75 peratus daripada 50,095 pelajar pada 2023 dan 36,949 pelajar atau 71 peratus daripada keseluruhan 52,055 pelajar hingga 10 Disember lalu telah menebus baucar digital masing-masing dengan syarikat penerbangan negara.
Inisiatif FLYsiswa adalah manifestasi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan isu kos sara hidup ditangani selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta mengeratkan hubungan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta Labuan.
Comments