top of page

PENJAWAT AWAM SALAHGUNA SURAT RENTAS DAERAH BERDEPAN TINDAKAN

  • nabalunews
  • Feb 3, 2021
  • 2 min read

Samsuni (tengah) diiringi Batholomew (kanan) ketika bercakap kepada media.

3 Feb 2021


PAPAR: Penjawat awam yang menyalahgunakan surat kebenaran rentas daerah akan berdepan dengan tindakan tatatertib.


Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor menegaskan mereka yang melakukan kesalahan tersebut akan dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.


"Kita menasihatkan para penjawat awam yang merentas daerah untuk hadir ke pejabat agar tidak menyalahgunakan surat kebenaran yang diberikan oleh ketua jabatan masing-masing.


"Sekiranya berlaku, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya.


Bagaimanapun, jelas Samsuni setakat ini, pihaknya tiada menerima sebarang laporan mengenai tindakan kompaun ke atas penjawat awam oleh Polis Kontinjen Sabah berhubung kesalahan tersebut.


Dalam pada itu, Samsuni yang ditemui di Sekatan Jalan Raya (SJR) Daerah Papar pada Selasa, turut menggesa para penjawat awam agar terus mematuhi Prosidur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berkuat kuasa.


"Walaupun laporan kes Covid-19 di Sabah kini menunjukkan trend penurunan, kita sarankan para penjawat awam yang turun bekerja supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.


"Ini termasuklah amalan norma-norma baharu dengan memastikan 3W dan mengelakkan 3S sama ada ketika berada di pejabat mahupun di luar," ujarnya selepas menyampaikan sumbangan 600 keping pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada para petugas barisan hadapan serta pengguna jalan raya di SJR Papar.


Hadir mengiringi beliau, Pengarah JPJ merangkap Pengerusi PEKAPS, Sadim Abdul, Pegawai Daerah, Ghulam Rasul Hapil dan Ketua Polis Daerah, DSP Batholomew Anak Umpit, sebelum melawat ke Pusat Kuarantin Dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Covid19 di Dewan Rakan Muda di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah, dekat Putatan.


Menurutnya, program Corporate Social Responsibility (CSR) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan Persatuan Kakitangan Awam Persekutuan Sabah (PEKAPS) yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk meningkatkan motivasi para petugas barisan hadapan untuk terus berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. - Penerangan

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page