Penjawat awam terlibat rasuah masih tinggi
9 November 2024
KENINGAU: Penjawat awam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dalam rasuah mencecah hampir 50 peratus yang menunjukkan negara masih bergelut untuk membanteras rasuah dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata menurut statistik setakat Oktober lalu, 43.4 peratus atau 547 tangkapan melibatkan penjawat awam manakala selebihnya seramai 712 orang atau 56.6 peratus melibatkan orang awam.
"Jadi kalau berdasarkan peratus, hampir 50% ya, 43% ni dah dekat 50% ataupun 40 ke 50 pada sayalah sebagai orang lama dalam SPRM ni, ini masih lagi tinggi..Peratusan ya, bukan angka kerana sewajarnya kalau kata kita nak mengatakan rasuah kena berkurangan di kalangan penjawat awam, sepatutnya di bawah 40 peratus dan makin menurun ikut tahun.
"Tetapi nampaknya isu rasuah dalam negara kita ni melibatkan jabatan kerajaan masih lagi perlu kita tangani dengan lebih teliti, dengan lebih jelas, dengan lebih efektif kerana penjawat awam seperti mana kita tahu, mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dana kerajaan ataupun dana rakyat dan kita ke arah memastikan supaya dana-dana ini tidak diselewengkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Keningau di sini, pagi tadi.
Katanya lagi, ikrar integriti yang dilafazkan penjawat awam itu menjadi penentu kepada mereka samada terlibat atau tidak dalam rasuah.
Tegasnya, integriti sebagai penjawat awam seperti mana ikrar dilafazkan setiap minggu perlu dikekalkan.
Sehubungan itu katanya janji kepada kerajaan dan masyarakat ketika mula-mula memasuki perkhidmatan awam dan janji kepada diri dan agama masing-masing, seharusnya dipatuhi dan mengekalkan integriti bagi meningkatkan sistem penyampaian untuk rakyat.
Beliau berharap bersempena dengan pengumuman kenaikan gaji oleh kerajaan akan menjadi penyuntik kepada penjawat awam untuk bekerja lebih keras lagi bagi tujuan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat termasuk SPRM.
Sementara itu, mengulas mengenai
perasmian Pejabat SPRM Cawangan Keningau, Azam berkata, berasaskan kepesatan pembangunan di daerah itu sudah tiba masanya SPRM membuka cawangan baharunya untuk melebarkan lagi perkhidmatan agensi tersebut untuk masyarakat setempat.
Sehubungan itu beliau berharap masyarakat yang kini mulai celik isu SPRM supaya tampil bertemu dengan pegawai yang ditempatkan di cawangan baharu itu dan tidak perlu lagi menghantar email, WhatsApp ataupun melalui media sosial tertentu.
Katanya bersemuka dengan pegawai SPRM adalah lebih mudah untuk mendapatkan penjelasan.
Beliau memberi jaminan sekiranya ia adalah berunsur maklumat rasuah, identiti pengadu akan dilindungi.
Comments