Penjenamaan parti harus tampilkan imej kepimpinan baharu: GEN Y UPKO
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penjenamaan parti harus tampilkan imej kepimpinan baharu: GEN Y UPKO



28 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Generasi Muda (GEN Y) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Maxolvine Sintore Gabu berkata, penjenamaan parti harus menampilkan imej kepimpinan yang baharu.


Sehubungan itu katanya, UPKO perlu melakukan satu perubahan drastik sekiranya ingin menjadi kekal releven di persada politik tanah air.


“Pemilihan parti UPKO yang dijadualkan pada tahun ini merupakan satu peluang yang sangat berharga buat parti ini untuk memilih barisan kepimpinan baharu yang lebih segar, bertenaga dalam mendekati rakyat di lapangan, kreatif menyelesaikan masalah rakyat dan paling penting sebagai pemimpin politik yang mempunyai “x-factor” untuk menarik sokongan pengundi.


“Secara peribadi, saya berharap semua jawatan dalam UPKO akan dipertandingkan pada pemilihan kali ini.


“Walaupun UPKO pernah mengalami perpecahan akibat pemilihan Timbalan Presiden sebelum ini, namun ia tidak harus dijadikan alasan untuk demokrasi tidak boleh diteruskan dalam UPKO,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Maxolvine berkata, ahli-ahli UPKO harus belajar dari kesilapan yang mana, pemilihan parti adalah satu proses demokrasi, bukan proses untuk menjatuhkan sesama ahli.


“Selesai pemilihan, sekiranya ikhlas dalam memperjuangkan perjuangan UPKO, maka harus bersama memperkukuhkan parti ini. Mungkin tidak semua akan mempunyai jawatan, namun semua ahli UPKO mempunyai peranan dalam memperkuatkan lagi parti UPKO.


“Saya berharap lebih ramai pemimpin muda yang akan berani tampil ke hadapan dan menyahut cabaran untuk mengembalikan kecemerlangan UPKO Malaysia,” katanya.


Beliau berkata, tujuan penjenamaan semula UPKO daripada sebuah parti politik yang berteraskan sesebuah kaum tertentu kepada parti politik berbilang kaum pada 2019 adalah untuk menjadikan UPKO sebagai parti politik yang bukan hanya releven malah mampu menarik minat pengundi pelbagai kaum di Malaysia amnya dan Sabah khasnya.


“Namun hakikatnya, UPKO tewas 11 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.


“Banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan UPKO dalam PRN lepas, dan salah satunya adalah kegagalan UPKO memperlihatkan parti itu yang telah dijenamakan semula.


“Pada hemat pengundi, UPKO pada hari ini adalah UPKO yang sama pada ketika bersama dengan Barisan Nasional (BN). Pendek kata, UPKO hanya dijenamakan semula, namun gagal untuk menampilkan imej yang baharu.


“Banyak perkara perlu dilakukan oleh UPKO untuk memadam imej BN pada nama UPKO, dan sebahagian usaha itu telahpun dilakukan, contohnya jelajah ke semua bahagian, penukaran bendera UPKO dan beberapa perkara lagi. Namun, majoriti pengundi masih melihat UPKO sebagai sebuah parti komponen BN,” katanya.


bottom of page