Penukaran cip MyKad rosak secara percuma mulai esok
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 2 min read

22 September 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi kemudahan penukaran cip MyKad yang rosak secara percuma bermula esok hingga 7 Oktober ini di mana-mana kaunter dan pejabat Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu selaras dengan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kos keseluruhan bagi penukaran percuma ini dianggarkan mencecah RM714,660 termasuk kos lain yang berkaitan.
“Kerajaan Madani prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad dan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik, kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUDI95,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, mengikut rekod JPN, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak telah diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025.
Menurutnya, trend permohonan itu juga menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan ini yang menyaksikan sebanyak 32,819 permohonan pada Jun, meningkat kepada 40,371 pada Julai.
Jumlah itu melonjak lagi kepada 45,411 pada Ogos, manakala bagi bulan September sehingga 21 haribulan sahaja, sebanyak 22,858 permohonan telah diterima.
“Berdasarkan purata dua bulan terkini, JPN menganggarkan sekitar 43,000 cip MyKad rosak setiap bulan.
“Oleh yang demikian, penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September 2025 sehingga 7 Oktober ini dianggar akan melibatkan perbelanjaan kepada Kerajaan Madani sebanyak RM714,660.00 termasuk kos lain yang berkaitan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan berpegang kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada manfaat yang dijanjikan.