Penumpang Maut Tersepit Dalam Kereta Remuk
- nabalunews
- May 22
- 1 min read

22 Mei 2025
KIMANIS: Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam kenderaannya dalam kemalangan di jalan berhampiran Balai Bomba Dan Penyelamat Kimanis, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.48 pagi itu, mangsa, Awang @ AG Harun Dulamit, 66, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.48 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan dan kereta Nissan Grand Livina yang dinaiki tiga individu.
“Seorang mangsa tersepit dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa terus dilaksanakan pasukan Bomba menggunakan peralatan RTA sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, seorang lagi mangsa yang cederaan ringan diberikan rawatan awal oleh pasukan Bomba sebelum dihantar ke Hospital menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.13 pagi.
Comments