Penunggang Motosikal Maut Kemalangan di Jalan Sabait
- nabalunews
- Oct 7
- 1 min read

7 Oktober 2025
SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Sabait, Batu 10, Sandakan, pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Katanya, pada masa sama, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak disebabkan jarak yang terlalu dekat.
“Kereta pacuan empat roda yang gagal mengelak bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa.
“Ekoran insiden itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, George menasihatkan pengguna jalan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.


















Comments