Penunggang motosikal maut, langgar belakang kereta
- nabalunews
- Apr 30
- 1 min read

30 April 2025
KOTA KINABALU: Seorang lelaki 20-an maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar sebuah motokar di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Mahkamah Syariah, di sini semalam.
Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden tersebut melalui Petugas Kaunter Aduan Awam Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Kinabalu sekitar jam 11.30 pagi.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah kenderaan motokar yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur 30-an telah datang daripada arah Jalan UMS dan hendak menuju ke SK Likas.
“Apabila sampai di lokasi kejadian dengan secara tiba-tiba seorang lelaki penunggang motosikal yang berumur lingkungan 20-an telah hilang kawalan dan telah melanggar bahagian belakang tepi sebelah kanan kenderaan motokar tersebut,” katanya.
Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu motokar tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah beliau.
Orang ramai turut dinasihatkan agar memandu dengan lebih berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan jarak yang selamat semasa berada di jalan raya.
Comments