Penunggang Motosikal Maut, Motosikal Rempuh Kereta Sebelum Terbakar
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

24 Januari 2026
PUTATAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Kota Kinabalu-Papar, berhampiran Kampung Petagas, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun yang parah akibat kemalangan itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 petang.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai gagal mengelak kereta Perodua Kancil yang berada di hadapannya.
“Kejadian mengakibatkan motosikal terbakar manakala mangsa turut mengalami kecederaan parah.
“Mangsa dihantar ke HQE untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu kenderaan Perodua Kancil tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sammy berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, Sammy menasihatkan pengguna jalan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mandu dengan berhati-hati.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan juga diminta tampil untuk membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
“Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, Inspektor Amrin Mohamad Rif ditalian 017-6638278,” katanya.


















Comments