top of page

Penunggang Motosikal Maut Tersepit Bawah Lori

  • nabalunews
  • Jun 12
  • 1 min read

12 Jun 2025


KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Taman Puri Warisan, Inanam, di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Ironsranciska Eyah, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di bawah lori berkenaan.


Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tagas, Tuaran selepas habis kerja di Kolombong, di sini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.30 petang.


Susulan itu katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi.


“Kemalangan membabitkan lori lapan tan dengan sebuah motosikal dan penunggang motosikal terbabit tersepit di bawah lori.


"Mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. Tindakan pasukan bomba membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page