Penuntut UMS Maut Terjatuh Di Dewan Canselor
- nabalunews
- 10 hours ago
- 2 min read

18 Disember 2025
KOTA KINABALU: Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dalam kejadian Dewan Canselor, pagi tadi.
Penuntut lelaki berusia 23 tahun ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh dua pekerja penyelenggaraan di pusat pengajian tinggi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, sebaik menerima makluman kejadian, sepasukan polis bersama pegawai penyiasat dikerah bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa terbaring di atas pentas di dalam Dewan Canselor UMS oleh dua orang pekerja penyelenggaraan yang sedang menjalankan tugas di kawasan tersebut.
“Pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 11.10 pagi.
“Pemeriksaan luaran mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan selain kesan akibat terjatuh,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini
Menurutnya, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah turut berada di lokasi bagi membantu menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam Dewan Canselor UMS mendapati, mangsa dilihat terjatuh pada jam 6.09 petang, Rabu lalu.
“Setakat ini, tiada saksi awam yang menyaksikan kejadian tersebut. Namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat,” katanya.
Kasim berkata, setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR) dan iasatan lanjut masih diteruskan.
Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Sementara itu, Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam kenyataan hari ini menegaskan, pihaknya masih menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
“UMS dengan penuh rasa dukacita mengesahkan satu kejadian kematian yang melibatkan seorang pelajar lelaki di dalam kawasan kampus UMS. Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga universiti.
“Sehubungan itu, UMS merayu kepada orang awam agar menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau kenyataan yang tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan dan menambah kesedihan kepada pihak yang terkesan.
“Keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan UMS. Pihak universiti komited untuk memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif melalui pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta pemantauan berterusan,”katanya.
Sehubungan itu, UMS turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan yang dikasihi.
“Pihak universiti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut kepada umum sekiranya perlu,”’katanya.














