top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penyambungan RTS Link antara Malaysia-Singapura disaksikan PM Anwar dan PM Singapura Lee


12 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


JOHOR BAHRU: Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura mencapai detik bersejarah apabila span, iaitu titik pertemuan jejambat marin projek tersebut, disempurnakan secara simbolik pada Khamis.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong menyaksikan penyambungan itu di tapak projek berkenaan.


Anwar dan Lee juga menandatangani plak yang menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek bernilai berbilion ringgit itu, yang kini sudah mencapai tahap kemajuan 65 peratus setakat 31 Dis lepas, seperti yang dijadualkan.


Projek ini juga akan membuka peluang baru untuk perkembangan ekonomi dan sosial di kawasan sekitar, terutamanya melalui inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang dibincangkan.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat serta Menteri Besar, Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.


Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.


Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

Comments


bottom of page