Penyediaan Petrol RON97 di Stesen Minyak Petronas Kimanis tangani isu kesukaran bekalan pelancong dari Brunei Darussalam
- nabalunews
- May 3
- 3 min read

3 Mei 2025
KIMANIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan ujian perintis (pilot test) untuk menyediakan bekalan petrol RON97 di Stesen Minyak Petronas Kimanis.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia bagi menangani isu kesukaran untuk mendapatkan bekalan tersebut oleh pelancong dan pelawat daripada Brunei Darussalam.
Katanya, ia kerana bekalan petrol RON97 terhampir hanya boleh diperolehi di beberapa stesen minyak Petronas seperti di Lintas-Kepayan, Jalan Mat Salleh, Penampang dan beberapa lokasi lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sesi turun padang dan pelancaran Produk RON97, di Stesen Petronas AJ Petromart Sdn Bhd, disini hari ini.
Armizan berkata, daripada sejumlah 260 stesen minyak di seluruh Sabah, hanya 37 stesen yang membekalkan bahan api petrol RON97.
"Banyak stesen minyak tidak menyediakan bekalan petrol RON97 disebabkan faktor permintaan yang rendah yang memberikan implikasi kos kerugian," katanya.
Katanya, masalah utama dihadapi oleh pelawat dan pelancong dari Brunei kerana dasar semasa kerajaan menetapkan kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi petrol RON97, iaitu bahan api tidak bersubsidi yang dijual pada harga pasaran.
Armizan berkata, menurut rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebanyak 156,000 kenderaan dengan pendaftaran Brunei telah memasuki Malaysia bagi tempoh tahun 2023 hingga 2024.
Sehubungan itu, katanya KPDN telah mempertimbangkan langkah bersesuaian untuk memastikan ketiadaan bekalan petrol RON97 tidak menjejaskan jumlah pelancong dan pelawat dari Brunei sekali gus membolehkan bekalan tersedia untuk rakyat tempatan di kawasan sekitar yang memilih untuk menggunakan bahan api tersebut.
Katanya, laluan Bandar Seri Begawan ke Kota Kinabalu akan merentasi daerah Limbang dan Lawas di Sarawak serta Sipitang, Beaufort, Kimanis dan Papar di Sabah.
"Hasil perbincangan dengan pihak PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), pendekatan yang diputuskan adalah untuk melaksanakan ujian perintis (pilot test) untuk menyediakan bekalan petrol RON97 di stesen Petronas Kimanis," katanya.
Armizan berkata, stesen Petronas Kimanis telah dipilih bagi melaksanakan ujian perintis (pilot test) untuk menyediakan bekalan petrol RON97 kerana didapati sebagai lokasi yang sesuai untuk menyokong laluan Bandar Seri Begawan ke Kota Kinabalu, dengan mengambil kira faktor jarak pemanduan 205 kilometer dari Bandar Seri Begawan serta kedudukannya yang strategik di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo.
Katanya, ujian rintis akan mengguna pakai Mini Portable Container System (PCS) dengan kapasiti 5,000 liter digunakan dalam tempoh percubaan sebelum pelaksanaan sepenuhnya.
"Pendekatan ini bertujuan untuk menilai keberkesanan sistem penyimpanan dan penjualan bahan api dalam memenuhi permintaan pengguna, di samping meminimumkan kesan kewangan sekiranya jualan bahan api tidak mencapai tahap yang diunjurkan," katanya.
Selain itu, katanya tempoh percubaan ini juga membolehkan pemantauan dan analisis terperinci terhadap aspek operasi, termasuk kestabilan bekalan, corak permintaan pelanggan serta keperluan logistik penghantaran bagi memastikan pelaksanaan yang lebih efisien, mampan, dan menguntungkan dalam jangka panjang.
Armizan juga memaklumkan KPDN telah melaksanakan mekanisme Rekod Log Pemantauan melibatkan stesen-stesen minyak di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bermula 1 Januari 2025.
Katanya, mekanisme ini melibatkan pemantauan berkala jentera penguat kuasa KPDN di lapangan yang telah diputuskan semasa Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan Barang Kawalan di Sabah, Sarawak dan WP Labuan pada 14 Disember 2024 lalu.
"Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Pemantauan ini melibatkan keseluruhan 538 stesen minyak di Sabah, Sarawak dan WP Labuan," katanya.
Comments