top of page

Kadar penempatan guru capai 97 peratus – Fadhlina

  • nabalunews
  • Sep 7
  • 2 min read

ree

6 September 2025


KOTA KINABALU: Kadar penempatan guru di seluruh negara telah berjaya ditingkatkan kepada 97 peratus setakat Ogos tahun ini.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bermula tahun ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah melaksanakan pengambilan dua kali setahun bagi mengatasi masalah kekurangan guru dalam negara.


Selain itu katanya, inisiatif pengambilan guru khas bagi Sabah dan Sarawak turut diperkenalkan.


“Penempatan guru baharu juga diselaraskan mengikut keperluan di setiap negeri. Lonjakan ini akan diteruskan bagi memastikan jumlah guru mencukupi,” katanya menerusi hantaran di media sosial.


Dalam pada itu, Fadhlina berkata projek pembangunan semula sekolah daif juga sedang giat dijalankan bagi meningkatkan akses pendidikan untuk manfaat murid di seluruh negara.


Menurutnya, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang ditubuhkan kerajaan ditugaskan memantau pelaksanaan projek bagi memastikan ia disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.


“Sehingga kini, sebanyak 749 projek telah siap sepenuhnya, 201 lagi dalam pembinaan manakala 227 berada di peringkat prabina,” katanya.


Dalam hantaran sama, Fadhlina turut menegaskan sebarang reformasi pendidikan negara perlu dilaksanakan secara teliti, bukannya terburu-buru membuat perubahan yang berkemungkinan menganggu dasar dan hala tuju pendidikan negara yang sedang berjalan.


Beliau berkata ada yang mempersoalkan mengapa selepas lebih dua tahun menerajui KPM masih tiada perubahan drastik berlaku dalam sektor pendidikan.


Fadhlina berkata, fokus beliau sepanjang menerajui kementerian itu adalah untuk memastikan setiap perancangan yang telah dibuat berjalan lancar dan hala tuju yang telah ditetapkan mencapai matlamatnya.


“Apa yang saya berikan tumpuan sewaktu mula-mula menjawat jawatan Menteri Pendidikan adalah menyusun semula gerak kerja di setiap peringkat bagi menangani 'learning loss' dalam kalangan murid pasca pandemik COVID-19.


“Perubahan rencana jika dilakukan secara populis, tergesa-gesa atau membuta tuli hanya akan memberi kesan lebih buruk kepada keseluruhan ekosistem negara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page