Penyelenggaraan jalan tanggungjawab kerajaan, rakyat tidak harus dibebankan - EwonPenyelenggaraan jalan tanggungjawab kerajaan, rakyat tidak harus dibebankan - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penyelenggaraan jalan tanggungjawab kerajaan, rakyat tidak harus dibebankan - Ewon


6 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa rakyat tidak seharusnya dibebankan sehingga memungut derma dan bergotong-royong menyelenggara jalan perhubungan kerana ianya adalah tanggungjawab Kerajaan.


“Kita harus berempati kepada rakyat kita yang kehilangan atau terjejas pendapatan sejak pandemik Covid-19 menular. Di kawasan DUN Kadamaian, apabila sekolah dibuka pada 22 November yang lepas, para ibu bapa, guru dan pengguna jalan yang lain mengadu keadaan jalan perhubungan yang rosak teruk dan tidak diselenggara dengan berkualiti.


“Sehinggakan penduduk di beberapa kampung terpaksa pula membuat pungutan derma dan mengadakan gotong-royong sendiri membaiki jalan. Di Kadamaian, jalan-jalan perhubungan ke sekolah seperti SK Sayap, SK Melangkap, SK Tengkurus, SK Lasau, SK Gensurai dan banyak lagi. Jalan-jalan ini sememangnya di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah,” katanya.


Ewon turun menyatakan reaksi negatif rakyat selepas Kerajaan mengumumkan cadangan pembinaan Skytrain di pusat bandar Kota Kinabalu beberapa hari yang lepas.


“Sebab itu bila ada inisiatif swasta seperti projek Skytrain dari pusat bandar ke lapangam terbang, rakyat memandang serong 'priority' sedemikian kerana bagi masyarakat luar bandar, mereka mahu jalan-jalan mereka dinaiktaraf. Kerajaan tidak boleh biarkan rakyat menunggu berpuluh-puluh tahun lagi baru merasai jalan aspal ke kampung mereka.


“Pihak Kerajaan seringkali bercakap mengenai projek “game-changer” di bandar, tetapi bagaimana pula dengan aspirasi rakyat luar bandar juga mahukan projek “game-changer” di kampung-kampung. Mereka ini bukannya hari-hari menggunakan skytrain itu,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa berucap membahaskan Belanjawan Sabah Tahun 2022 di sidang DUN pada hari ini.

bottom of page