Penyeludup minyak petrol dipenjara lapan bulan
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

7 November 2025
TAWAU: Dua nelayan warga asing yang didapati memiliki sejumlah 2, 050 liter minyak petrol tanpa kebenaran sah pada Selasa lalu, dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Al Haber Atara, 32, dan Baid Alpah, 19, masing-masing dijatuhkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap oleh Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas kedua-duanya membuat pengakuan bersalah.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut apabila selesai menjalani hukuman, memandangkan mereka tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Mereka didapati memiliki barang kawalan berjadual iaitu 2, 050 liter minyak petrol tanpa lesen di atas bot laju tanpa nombor pendaftaran yang mencurigakan di perairan Tanjung Manimpa, Semporna sekitar jam 3.45 pagi pada 4 November lalu.
Kedua-duanya ditangkap oleh Unit Risikan Ungerin, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah hasil maklumat risikan dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara dalam tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa KPDN Cawangan Semporna, Samat Mapiare @ Muparia, mengendalikan pendakwaan kes, manakala, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


















Comments