top of page

Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran di Kg. Malangkap Kapa

  • nabalunews
  • Feb 25
  • 1 min read

Oleh: Kidd


25 Februari 2026


KOTA BELUD: Seramai 10 wakil daripada Persatuan Komuniti Times J Sabah (Sabah Times J Community Association) telah turun padang bagi menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Malangkap Kapa, di sini.


Program penyerahan sumbangan tersebut diketuai oleh Pengerusi persatuan, Jamaika Kisau, bersama sembilan Ahli Jawatankuasa (AJK) tertinggi. Kehadiran rombongan bertujuan menyampaikan bantuan keperluan asas kepada keluarga yang terjejas akibat kejadian kebakaran yang berlaku baru-baru ini.


Sumbangan yang disalurkan termasuk tilam, bantal, cadar, serta dapur gas untuk membantu mangsa meneruskan kehidupan harian mereka sementara waktu dan menstabilkan keadaan pasca tragedi.

Menurut Jamaika inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan persatuan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap komuniti setempat.


“Semoga sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga mangsa. Kami sentiasa berpegang kepada slogan persatuan iaitu ‘Sedikit Sama Merasa’ sebagai simbol kebersamaan dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui semasa program berlangsung.

Untuk makluman, Persatuan Komuniti Times J Sabah ditubuhkan pada 25 April 2018 dan aktif menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan serta program kemasyarakatan di seluruh negeri Sabah.


Program ini mencerminkan semangat keprihatinan dan solidariti masyarakat dalam membantu golongan yang diuji dengan musibah, selaras dengan usaha memperkukuh jaringan sokongan komuniti di daerah ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page