Penyertaan baharu golongan muda dalam UPKO positif - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penyertaan baharu golongan muda dalam UPKO positif - Ewon


Ewon (tiga dari kiri) menerima borang keahlian daripada Shawn, turut kelihatan Basari (kiri) dan para pemimpin parti.

5 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


LAHAD DATU: Penyertaan golongan muda profesional ke dalam parti merupakan petunjuk positif yang boleh menyumbang kepada kesinambungan kepimpinan.


Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan keyakinan bahawa parti tersebut berada di landasan yang betul dengan peningkatan sokongan mantan ahli dan juga ahli-ahli baharu.


Beliau menyatakan demikian selepas menerima permohonan keahlian daripada Shawn Malanjum, seorang usahawan muda dalam sektor perhotelan di Lahad Datu.


“Sebagai Presiden UPKO, saya telah meletakkan dua bidang keutamaan dalam perkhidmatan kepimpinan saya iaitu memperkasakan gerakan keusahawanan termasuk koperasi dan gerakan pendidikan melalui perkhidmatan sokongan bantuan pendidikan.

“Dalam tempoh satu tahun ini, UPKO terkehadapan dan telah menjadi antara pemain utama untuk dua bidang tumpuan ini. Saya juga mengalu-alukan sokongan baharu daripada golongan muda profesional, daripada golongan usahawan sebagai respon mereka ke atas usaha parti ini.


“Sebab itu saya amat berbesar hati menerima kemasukan saudara Shawn, seorang usahawan muda sektor perhotelan di sini ke dalam parti UPKO. Penyertaan beliau ke dalam UPKO merupakan sesuatu yang sangat positif dan saya amat yakin ini akan berterusan,” katanya.


Ewon menerima permohonan keahlian daripada Shawn semasa majlis makan malam bersama UPKO Lahad Datu, semalam.

Semasa konvensyen UPKO pada tahun lepas, Ewon menyatakan jemputan terbuka beliau kepada mantan ahli parti untuk kembali aktif dalam parti tersebut dan juga kepada ahli-ahli baharu.


Susulan itu mantan Timbalan Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, mantan Ketua Bahagian UPKO Putatan Datuk Dr Marcus Mojigoh, mantan Timbalan Ketua Pemuda Kennedy John dan mantan Ketua Bahagian UPKO Kadamaian Mail Balinu antara yang telah kembali menyertai UPKO.


bottom of page