- Wartawan Nabalu News
Peranan “semak dan imbang” penting pastikan hak Sabah terbela: Felix

12 Jun 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
TELUPID: Parti-parti pembangkang akan terus memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan hak-hak dan kepentingan wilayah Sabah terbela.
Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Beluran Felix Joseph Saang berkata, kerajaan hari ini juga harus melaksanakan janji-janji yang telah ditabur kepada rakyat.
“Pembangkang bukan sekadar “membantah” tetapi memperbetulkan yang salah dan memperjuangkan perkara-perkara yang tidak adil untuk rakyat.

“Bagi Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda UPKO Beluran, kami kekal komited, fokus, berani dan ikhlas demi untuk membela hak-hak dan kepentingan masyarakat yang lebih adil.
“Masih banyak keperluan rakyat luar bandar yang harus diberikan perhatian oleh kerajaan terutamanya pembangunan infrastruktur,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda UPKO Beluran, di Dewan Institut Perhutanan Telupid, di sini, kelmarin.
Felix yang juga Ketua Pemuda UPKO Pusat berharap semua pemimpin dan ahli parti itu khususnya kawasan Beluran terus mengukuhkan kerjasama untuk melaksanakan semua program yang dirancang di kawasan masing-masing.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Wanita UPKO Beluran Fauziah Kudus, Ketua Pemuda UPKO Beluran Petrus Matthew dan Ketua Generasi Muda UPKO Beluran Emmanuel Atin.
Fauziah berjaya mengekalkan jawatannya untuk penggal seterusnya. Manakala Petrus pula menggantikan Tommy Amir yang telah memegang jawatan Ketua Pemuda lebih empat penggal.

“Terima kasih dan syabas atas kesetiaan, kecekalan dan semangat juang ketiga-tiga sayap Pergerakan. Kita mempunyai peranan yang amat penting sebagai 'check and balance' kepada kerajaan pemerintah hari ini,” katanya.