top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perancangan pembangunan perlu seiring kepesatan perumahan - Ewon


7 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, perancangan pembangunan perlu seiring dengan kepesatan projek perumahan di Sabah termasuk di Penampang.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, kepesatan projek perumahan di Sabah khususnya Penampang telah mewujudkan satu cabaran dan keperluan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan-jabatan teknikal lain untuk memberikan perhatian berhubung aspek ini termasuk perparitan dan saliran.


“Sehubungan itu Majlis Perbandaran, Pejabat Daerah, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, jabatan teknikal lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Air dan Jabatan Kerja Raya perlu menyediakan satu pelan yang lebih baik.


“Akses jalan raya, utiliti dan kemudahan lain termasuk perparitan dan saliran juga harus menjadi tumpuan baru di Penampang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Galeri Jualan dan Pelancaran Sky88 Residences Bundusan, di sini, hari ini.


Ewon berkata, bagi kawasan Penampang, Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah akan diadakan pada Selasa minggu ini bagi membincangkan pelbagai perkara.

“Antara lainnya berkaitan isu banjir yang berlaku di Penampang baru-baru ini serta keperluan-keperluan lain yang perlu kita masukkan dalam cadangan pelaksanan pembangunan Penampang dalam Rancangan Malaysia seterusnya.


“Selain itu kita juga membincangkan pelaksanaan projek-projek sedia ada seperti Projek Tebatan Banjir yang sedang dilaksanakan di Penampang, Projek Pembesaran Jalan Raya dan beberapa kemudahan infrastruktur di daerah ini yang sedang dilaksanakan tetapi masih memerlukan

banyak kemudahan lain,” katanya.


Ewon berkata, sebagai wakil rakyat Penampang, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk melihat, meneliti, memantau dan menuntut keperluan-keperluan baru supaya ia dapat ditangani dengan lebih baik.


“Di Penampang, kita telah menyediakan Pelan Pembangunan Penampang yang dilancarkan pada Disember lalu di hadapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Haji Noor) dan itu akan menjadi input saya kepada menteri-menteri dan kementerian lain di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terutamanya dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) 2026-2030, tentang bagaimana kita boleh menyusun dengan lebih baik pembangunan di Penampang.


Mengenai majlis itu, Ewon berkata, pembinaan perumahan Sky88 Residence di Penampang sangat bertepatan kerana isu perumahan masih menjadi satu keperluan utama penduduk khususnya mereka yang berkerjaya.


“Kerajaan juga melancarkan program Malaysia My Second Home dan Sky88 Residence ini boleh menyediakan satu pilihan kepada mereka untuk memiliki perumahan yang lebih selesa di Sabah,” katanya.

Comments


bottom of page