PERANG COVID: JANGAN BIARKAN MALAYSIA JADI BAHAN KETAWA DUNIA, JANGAN BIARKAN SABAH TERUS TERCICIR
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PERANG COVID: JANGAN BIARKAN MALAYSIA JADI BAHAN KETAWA DUNIA, JANGAN BIARKAN SABAH TERUS TERCICIR


Ewon (kanan) dan Phoong. (Gambar Fail)

27 Mei 2021


1. Memerangi pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama, tetapi Kerajaan perlu mendepani semua yang lain bagi menguruskan solusi ke atas pandemik ini.


2. Kami khuatir dan dukacita di atas kegagalan pimpinan Kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemik ini. Pada hari kelmarin sahaja, 26.5.2021, jumlah kes baharu positif yang dilaporkan di seluruh negara adalah sebanyak 7,478 kes di mana 229 kes datangnya daripada Sabah.



3. Dalam carta dunia, Malaysia merekodkan bilangan kes positif per juta populasi yang lebih besar berbanding negara India.


4. Di mata dunia juga, Malaysia ditertawakan kerana menjadi satu-satunya pemerintahan yang telah menguburkan demokrasi dengan menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di bawah Ordinan Darurat.


5. Ordinan Darurat yang dikatakan untuk memerangi Covid-19 ternyata gagal selepas lebih empat bulan dikuatkuasakan. Kes baharu semakin bertambah, variant baharu masuk ke negara ini bertambah, hospital awam semakin sesak, jumlah kematian akibat Covid-19 semakin bertambah.


6. Selepas satu tahun berhadapan dengan pandemik ini melalui pelaksanaan pelbagai rantaian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ternyata S.O.P yang diperkenalkan gagal mengawal pandemik ini kerana ianya tidak konsisten dan bersifat double standard.


7. Pengakuan Perdana Menteri Sheraton Move, Muhyiddin Yassin beliau tidak dapat menjaga lebih 30 juta rakyat Malaysia membuktikan ketidakupayaan dan kelemahan beliau dalam menangani krisis ini. Ketua pentadbir negara lain seperti New Zealand misalnya, juga bertanggungjawab menjaga jutaan rakyat tetapi tidak pernah membuat perakuan sedemikian sebaliknya menunjukkan political will yang kuat menguruskan krisis pandemik di negaranya, tidak menguburkan demokrasi New Zealand dan kini menjadi salah satu contoh terbaik dunia.



8. Muhyiddin telah mengumumkan peruntukan sehingga RM 5 billion khusus untuk perang ke atas pandemik Covid-19. Namun begitu banyak persoalan di mata rakyat bagaimana peruntukan besar ini digunakan kerana hasilnya yang belum dirasakan majoriti rakyat terutama program imunisasi vaksin.


9. Rakyat diminta mendaftar untuk program imunisasi vaksin, tetapi sistem dan laman sesawang yang dibina gagal berfungsi dengan berkesan. Malah rakyat mempersoalkan peruntukan besar sehingga hampir RM70 juta boleh menggunakan perisian 'cloud flare' yang boleh diperolehi secara percuma.


10. Malah semasa pendaftaran vaksin AstraZeneca yang dibuat kelmarin, 26.5.2021, Sabah tercicir daripada senarai penerima. Bagaimana pimpinan Sabah yang Ketua Menterinya datang daripada parti yang sama dengan Muhyiddin boleh membiarkan Sabah tercicir?


11. Kenapa Sabah tidak berusaha memulakan perolehan vaksin sendiri dan memulakan program imunisasi sendiri bagi melengkapkan usaha yang dibuat di peringkat persekutuan? Bukankah kita sudah diberi jaminan sebelum ini bahawa lebih RM 1 bilion boleh diperolehi daripada Petronas di bawah Enakman Cukai Jualan Produk Petroleum yang kita kenakan sejak tahun 2019? Kenapa tidak gunakan sebahagian duit ini untuk program vaksinasi rakyat Sabah sendiri?



12. Rakyat seolah-olah dipersalahkan kerana tidak mendaftar untuk program imunisasi vaksin. Tetapi adakah Kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk meyakinkan rakyat mengambil bahagian dalam program imunisasi ini? Pernahkah pihak Kerajaan memikirkan dengan empati situasi sebenar di kampung-kampung, terutama di luar bandar limitasi yang mereka hadapi untuk mendaftar program ini?


13. Kami menghargai pengorbanan yang diberikan oleh anggota pasukan kesihatan memberikan rawatan, saringan, dokumentasi dan semua urustadbir berkaitan pandemik Covid-19. Tetapi agensi dan jabatan Kerajaan lain yang berkaitan yang pernahkah turun padang dan berempati dengan rakyat bagi meyakinkan mereka menerima program vaksinasi ini


14. Yang lebih banyak berlaku adalah pelaksanaan double standard S.O.P, rakyat biasa menerima hukuman sementara golongan elit termasuk Anggota Pentadbiran Muhyiddin yang melakukan perlanggaran SOP yang sama boleh terlepas daripada hukuman.


15. Kami mengalu-alukan saranan Sultan Johor agar kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri itu bermesyuarat khusus untuk membincangkan solusi ke atas pandemik Covid-19 di Johor. Alangkah baiknya saranan itu dibuat di seluruh negara, dan dilaksanakan oleh Kerajaan masing-masing.



16. Begitu banyak saranan yang dibuat oleh pelbagai pihak bagi membuka semula Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya political will boleh dicapai bersama oleh semua penggubal undang-undang bagi menangani pandemik ini. Meneruskan Ordinan Darurat sedangkan gagal mencari solusi hanya menyerlahkan ketidakwibawaan di pihak Kerajaan.


17. Kami bersedia memberi sokongan kepada segala usaha yang dibuat melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri seperti pemberian peruntukan, pindaan undang-undang berkaitan, jawatankuasa bersama dan sebagainya. Jika ianya dibuat melalui Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, maka ianya menjadi tanggungjawab bersama. Tetapi jika ianya hanya dibuat melalui Ordinan Darurat, maka hanya di pihak Kerajaan sahaja yang bertanggungjawab dan layaklah kerajaan itu dimaki oleh rakyat di atas kegagalannya.


18. Buat Muhyiddin, jangan jadikan Malaysia terus menjadi bahan ketawa di mata dunia. Dan jangan biarkan Sabah terus tercicir.


19. Jika anda tidak mampu bekerja untuk menjaga lebih 30 juta orang di negara ini, beri laluan kepada seseorang yang mempunyai passion, komitmen, fokus dan political will. Atau sekurang-kurangnya tamatkan Ordinan Darurat bagi membolehkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya pengurusan memerangi pandemik Covid-19 ini lebih menjadi tanggungjawab bersama semua parti.


Kenyataan Bersama dikeluarkan oleh:


EWON BENEDICK

ADUN Kadamaian

Naib Presiden UPKO


PHOONG JIN ZHE

ADUN Luyang

Ketua DAPSY Sabah



bottom of page