Perarakan replica bersenjata timbulkan kegusaran awam: Saifuddin

20 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perarakan replika bersenjata yang tular di media sosial anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu telah menimbulkan suatu kegusaran awam kepada masyarakat.
Beliau berkata, ini kerana suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri dilihat semakin memuncak.
“Saya memandang serius berhubung satu acara melibatkan perarakan replika berseniata tajam vanq berlangsung dalam suatu himpunan anjuran sebuah parti politik pada 17 Februari lalu.
“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (race, religion & royalty) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh 'memanaskan' keadaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Saifuddin berkata, apa jua tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau 'military' amat tidak wajar dan tentu akan mengundang keresahan awam.
Katanya, insiden itu disiar dalam bentuk 'video clip' dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan.
“Ini mengundang pertanyaan adakah perarakan ini bermaksud menyuntik semangat perang?
“Saya ingin memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru hara kepada rakyat dan negara,” katanya.
Saifuddin berkata, tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.
“Malaysia sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ianya sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara,” katanya.
Comments