Perbahasan Bajet 2023 Peringkat Dasar Ahli Palrimen Tuaran Wilfred Madius Tangau
top of page
  • nabalunews

Perbahasan Bajet 2023 Peringkat Dasar Ahli Palrimen Tuaran Wilfred Madius Tangau


1 Mac 2023


1. Terima kasih Tuan Yang DiPertua kerana memberi peluang kepada Tuaran untuk turut membahaskan Bajet 2023 peringkat dasar yang telah dibentangkan oleh YAB Tambun pada Jumaat yang lepas. Tahniah kepada YAB Tambun di atas kesempatan membentangkan Bajet negara sebanyak 7 kali iaitu 1991 hingga 1997 dan kali ini 2023 pula kali yang ke 8.


2. Bajet 2023, mengandungi 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad dan seterusnya dicadangkan beberapa strategi untuk memacu setiap tekad tersebut. Tuaran berterima kasih kepada kerajaan di atas pelbagai strategi untuk melaksankan ketiga-tiga tekad tersebut.


3. Tuaran memulakan perbahasan dengan memperjuangkan aspirasi utama rakyat Tuaran masa kini iaitu rakyat Tuaran terhimpit dengan masalah bekalan air bersih. Sudah sekian lama catuan bekalan air bersih menjadi sebahagian daripada hidup harian orang-orang Tuaran dan penduduk berhampiran kawasan Parlimen Tuaran. Kawasan perumahan, perkampungan dan penempatan terpaksa menerima bekalan air bersih secara penggiliran daripada Jabatan Air Sabah. Sebelah siang tiada air, dan hanya menjelang malam baru ada atau sebaliknya. Bahkan kadang-kadang air yang keluar dari paip juga kecil sahaja, macam air kencing. Ini kerana semua penduduk berebut rebut menggunakan air dalam satu-satu masa setelah seharian dicatu. Lebih parah apabila insiden bekalan air terputus yang diakibatkan oleh kerosakan, ataupun yang disebabkan tidak ada bekalan langsung daripada infra yang telah disediakan. Ya infra ada, namun ia sekadar boneka, sebab tidak berfungsi.


4. Akibatnya, bukan sahaja memberi derita hidup kepada rakyat. Penduduk yang tinggal di perumahan, mereka terpaksa membeli air mineral sebagai air minuman dan air untuk memasak. Dan kita tahu bahawa di Sabah ini masih ramai isi rumah yang tidak berkemampuan. Fakta menyatakan lapan dari 10 daerah termiskin di Malaysia terdapat di Sabah. Dalam erti kata lain, isu bekalan air ini kini sudah menjadi tahap sebagai satu sumpahan kepada kami di Sabah.


5. Masalah ini turut menjadi neraka bagi para peniaga mahupun pelabur. Bayangkan, sesebuah restoran yang juga memiliki 28 bilik lodge terpaksa berbelanja RM3,000 sebulan untuk membeli air, iaitu RM400 dari bil Jabatan Air Sabah, manakala RM1,600 dibeli secara pukal dari pembekal swasta iaitu pada kadar 30 sen seliter. Paling teruk lagi apabila catuan air itu dilakukan pada peak hours termasuk pada hujung minggu yang memberi impak kerugian besar kepada peniaga seperti pengusaha-pengusaha restoran dan lodge. Tuan Yang DiPertua inilah alkisah teruknya bekalan air terawat di Sabah. Malah Tuaran sekiranya diberi masa yang lebih panjang boleh bercerita lebih banyak kisah suka duka penduduk yang terkesan di Sabah khususnya di kawasan Parlimen Tuaran.


6. Namun sepertimana jawapan YB Kinabatangan, (iaitu Mantan Menteri yang bertanggungjawab tentang Hal Ehwal bekalan air di Sabah) kepada pencelahan saya pada Isnin 27 Feb, punca masalah bekalan air bersih di Sabah berlarutan sehingga kini termasuklah menyelesaikan masalah Non Revenue Water (NRW) adalah kerana Kerajaan Sabah tidak mempunyai PERUNTUKAN yang mencukupi.


7. Tuan Yang Dipertua, hal ehwal air di Malaysia adalah diletakkan dalam senarai Negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu Kerajaan Sabah terpaksa mencari peruntukan kewangan sendiri untuk merawat dan seterusnya mengagihkan bekalan air yang terawat. Menurut YB Kinabatangan, Kerajaan Sabah memerlukan RM23 hingga RM27 Billion untuk menyelesaikan masalah bekalan air terawat di Sabah. Dari mana? Dan bilakah Sabah akan dapat peruntukan sebanyak itu? Antaranya Kerajaan Sabah terpaksa meminjam daripada Kerajaan Persekutuan. Saya ulangi, kerajaan Sabah terpaksa meminjam daripada Kerajaan Persekutuan.


8. Tuan Yang Dipertua, menurut Jabatan Air Sabah, dengan mengambil kira Non Revenue Water (NRW) pada kadar 50%, defisit bekalan air di Parlimen Tuaran dan sekitar adalah melebihi 150 Juta Liter Sehari (MLD). At the rate of the current progress of development in Sabah water supply will only exceed demand in 2040. Walaupun Hal Ehwal Air adalah hal Negeri namun air adalah nadi kepada segala pembangunan. Dan sebagai salah satu daripada tiga Wilayah yang membentuk negara Malaysia tercinta ini, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan kerajaan Sabah mencari penyelesaian tuntas terhadap masalah kronik ini.


9. Terkait dengan masalah kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Sabah sehingga meminjam daripada Kerajaan Persekutuan, Tuaran mahu kembali kepada perkara pokok dalam pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963. Tidak lain dan tidak bukan iaitu Perjanjian Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang kini dijenamakan sebagai MA63. Dalam Perjanjian tersebut yang akhirnya diterjemahkan sebagai peruntukan penting dalam Perlembagaan Persekutuan ialah, sebenarnya bukan Hal Ehwal Air sahaja yang menjadi hak Sabah, malah yang jauh lebih utama ia lah 2/5 ataupun 40% daripada Pungutan Hasil Persekutuan di Sabah adalah juga hak Sabah seperti mana yang termaktub dalam Perkara 112C (1) (a) Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.


10. Tuan Yang Dipertua, hak ini dinafikan selama 60 tahun sejak terbentuknya Malaysia. Tuaran bersama-sama dengan rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain sudah menyuarakan perkara ini berkali-kali di Dewan yang Mulia ini termasuk dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah DiRaja baru-baru ini. Malang sekali tidak ada ulasan langsung daripada mana-mana Menteri termasuk Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak. Saya mohon maaf, kerana terpaksa berterus terang meluahkan kekecewaan rakyat Sabah. Kerana yang disebut hanyalah pemberian khas kepada Sabah yang dikatakan sebagai interim.


11. Pendek kata mereka mengelakkan dari memberi jawapan. Saya hanya terdengar desas desus yang mengatakan hak Sabah terlalu besar untuk dilaksanakan malah ada juga yang mengatakan “Kerajaan Persekutuan boleh bankrap kalau dilaksanakan!” Sementara itu negeri-negeri di Semenanjung menikmati peruntukan sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan untuk menangani hal ehwal air walaupun air itu berada dalam state list hanya kerana tata kelola air di seluruh Semenanjung berada di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Agensi ini dijenamakan sebagai Negara sedangkan dia cuma beroperasi di Semenanjung. Saya cadangkan supaya nama agensi ini di tukar menjadi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Semenanjung (SPAS) sebab tidak mungkin Sabah dan Sarawak mahu menyertai di bawah tata kelola SPAN yang ada sekarang.


12. Tuan Yang Dipertua, sekiranya pemberian 40% dilaksanakan kerajaan Persekutuan dari dahulu, saya percaya Sabah akan mempunyai peruntukan yang cukup bukan sahaja dalam menyediakan bekalan air bersih malah dalam menyediakan pelbagai kemudahan asas yang lain. Kita tidak perlu lagi meminjam minjam dari Kerajaan Persekutuan, kemudian terpaksa membayar balik lagi hutang pinjaman. Saya ingin bertanya, siapa yang sebenarnya yang sudah berhutang selama 60 tahun? Adakah Sabah atau Malaysia?


13. Ada yang mencadangkan kenapa Sabah tidak mahu menyerahkan Hal Ehwal Air kepada SPAN? Jawapannya ialah dulu Sabah juga menyerahkan hal ehwal elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Apa yang berlaku, masalah elektrik di Sabah tidak pernah selesai sampai hari ini. Setiap hari ada sahaja blackout di Sabah. Bayangkan di Semenanjung System Average Interruption Duration Index (SIDI)-nya 50, di kawasan Parlimen Ranau SIDI-nya 1,000, yang mana purata keseluruhan SIDI di Sabah adalah menghampiri 300. Berdasarkan case study ini, maka penyerahan hal ehwal air kepada SPAN boleh jadi hanya akan mengulangi apa yang telah terjadi terhadap penyerahan hal ehwal elektrik kepada persekutuan. Malah kini Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB) juga sudah pun dalam proses diserahkan balik kepada Sabah.


14. Tuan Yang Dipertua, permintaan Sabah ialah laksanakan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 dengan sepenuhnya. Janganlah hanya berkali-kali membuat janji dalam pilihanraya tetapi selepas membentuk kerajaan pelbagai alasan dibuat. Oleh itu Tuaran bagi pihak rakan-rakan Ahli-ahli Parlimen daripada Sabah mengulangi permintaan kami, tolong laksanakan hak-hak Sabah terutama sekali Perkara 112C (1) (a) Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan bahawa 40% daripada pungutan hasil Persekutuan dari Sabah hendaklah diserahkan kepada Sabah.


15. Terkait dengan hasil persekutuan, Tuaran juga bercadang agar semua lesen perjudian di negara ini diserahkan kembali kepada Kerajaan untuk dilaksanakan dalam bentuk lottery Social Welfare supaya hasilnya dapat digunakan untuk membina pelbagai Infrastruktur seperti mana yang dibuat di negara lain seperti Vietnam dan Canada. Kenapa lesen-lesen perjudian ini masih diberikan segelintir orang yang kini menjadi maha kaya? Sedangkan negara kita menghadapi pelbagai kesulitan mencari dana untuk membina infrastruktur.


16. Demi menjamin ketelusan dalam tata kelola Tuaran juga bersetuju dengan sahabat Saya YB Subang agar PETRONAS ini disenaraikan, kalau tidak mahu ikut EQUINOR daripada Norway yang mengapungkan saham sampai 33%, ikut saja syarikat ARAMCO daripada Saudi iaitu hanya 5%. Harus diingat, dengan langkah Norway menyenaraikan dan seterusnya menubuhkan Sovereign Fund hasil minyak dan gas dan kini mencecah nilai USD 1 Trillion berbanding dengan Malaysia yang ada RM1 Trillion hutang. Adalah tidak benar sama sekali kononnya PETRONAS melapor kepada Parlimen. Tidak ada Akta yang mengatakan PETRONAS mesti buat Laporan Tahunan kepada Parlimen. Dan untuk menyelesaikan tuntutan royalti yang lebih tinggi daripada Negeri-negeri pengeluar minyak dan gas, Tuaran mencadangkan supaya berikan saja negeri-negeri ini ekuiti dalam PETRONAS. Untuk Sabah dan Sarawak Tuaran cadangkan supaya masing-masing diberi 20% ekuiti.


17. Terkait pembangunan di Tuaran, minta supaya disegerakan:


● Pembinaan SMK Nabalu;

● SMK Laya-laya;

● Bangunan SM St John yang baru;

● Kompleks Bangunan Pejabat PPD Tuaran;

● Bangunan Ibu Pejabat Daerah (IPD) PDRM Tuaran yang baru;

● Bina Semula Jambatan Sungai Damit;

● Selesaikan masalah 44 sekolah daif di PPD Tuaran.

● Laksanakan Projek Naiktaraf Jalan Bulatan Berungis - Bulatan Mengkabong;

● Tambahkan peruntukan Penyelenggaraan Lampu Jalan Persekutuan di Tuaran dari RM50k kepada RM500k, dan tunaikan permintaan JKR Sabah untuk dapat RM5 Juta untuk Penyelenggaraan Jalan-Jalan Persekutuan di Sabah;


18. Berikan Peruntukan dari program Jalan Luar Bandar Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah di kawasan Parlimen Tuaran untuk naik taraf:


● Jalan SK Guakon;

● Jalan SK Wasai;

● Jalan SK Sinulihan;

● Jalan SK Togop;

● Jalan SK Kitapol ;

● Jalan SK Tambulaong;

● Jalan SK Wangkod;

● Jalan SK Saradan;

● Jalan SK Linungkuan;

● Jalan SK Giuk;

● Jalan SK Sungoi.


19. Berikan internet connectivity untuk Sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Tuaran yang menghadapi masalah internet dengan membina menara dan infra yang berkaitan seperti berikut:


● Sk Tomis

● Sk Wasai

● Sk Kindu

● Sk PukaK

● Sk Koporingan

● Sk Lokos

● Sk St James Tenghilan

● Sk Rangalau Baru

● Sk poring

● Sk Linangkuan

● SK Rungus

● SK Bundu Tahuri

● SK Laputong

● SK Mantob

● SK Sungoi

● SK Pahu

● SK Lokub

● SK Gontung

● SK Gaya Ratau


20. Selain itu Tuaran mohon dipercepatkan pelaksanakan Projek bekalan air luar bandar (BALB) di kampung kapa-sinalapak dan sekitarnya. Dengan kata-kata itu saya akhiri dengan ucapan Terima Kasih. Tuaran mohon menyokong.



bottom of page