top of page

Percepatkan Kerja Pengukuran Tanah, Pemprosesan dan Pengeluaran Geran NT — Madius

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 1 min read

KOTA KINABALU, 20 Julai — Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau hari ini menyeru Kerajaan Negeri mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah, pemprosesan permohonan serta pengeluaran Geran Anak Negeri (NT) bagi meringankan beban rakyat.


Menurutnya, rakyat tidak mahu lagi mahu menunggu bertahun-tahun untuk memperoleh hak milik tanah mereka.


"Setiap tambahan peruntukan kepada Jabatan Tanah dan Ukur hendaklah benar-benar mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.


"Tanah ialah tempat tinggal, sumber rezeki, warisan keluarga dan jaminan masa depan anak-anak," katanya.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 di sini pada Isnin.


Beliau berkata tanah bukan sekadar aset ekonomi bagi kebanyakan rakyat Sabah.


"Justeru, saya ingin mengetahui apakah langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil oleh Kerajaan untuk mempercepatkan kerja pengukuran tanah, pemprosesan permohonan serta pengeluaran Geran NT.


"Bagaimanakah tambahan peruntukan itu akan membantu mengurangkan tunggakan permohonan, khususnya di kawasan luar bandar," tegas beliau.


Madius berkata transformasi pentadbiran tanah bukan sekadar soal pendigitalan semata-mata.


"Apa yang lebih penting ialah meningkatkan integriti, kecekapan dan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian Kerajaan.


"Saya mencadangkan sistem pentadbiran tanah diperkukuhkan melalui penggunaan teknologi biometrik, penyepaduan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara serta audit berkala bagi memastikan setiap urusan tanah dilaksanakan secara telus dan berintegriti," tambahnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page