top of page
nabalunews

Percepatkan pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri Nabawan dan Pagalungan: Ghani




Ghani (kesembilan dari kiri) bersama ketua-ketua jabatan merakam gambar kenangan dengan ketua-ketua adat yang menerima watikah pelantikan pada majlis itu.

26 November 2024


NABAWAN: Kerajaan negeri Sabah diminta mempercepatkan pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin berkata, sebelum ini permohonan pembinaan dua buah bangunan baharu MAN telah diajukan kepada pihak berwajib nanum belum ada tindakan susulan berikutan masalah tapak.


Katanya, kini tapak pembinaan bangunan tersebut telah tersedia dengan keluasan dua ekar.


"Saya percaya ia akan diselesaikan dalam masa terdekat. Kita mengharapkan agar ia dapat dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun depan" katanya kepada media selepas merasmikan majlis penyerahan watikah pelantikan Ketua Anak Negeri, Wakil Wetua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Cina kawasan ADNN.46 Nabawan di Dewan Serbaguna di sini pada Isnin.


Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata, MAN di sini memerlukan bangunan sendiri agar perkhidmatan kepada masyarakat berkaitan adat istiadat dapat dilakukan dengan lebih berkesan.


Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan agar ketua-ketua adat menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan seterusnya menjadi pemangkin kepada aspek kesejahteraan, pembangunan sosial serta ekonomi di daerah ini seiring dengan agenda pembangunan negeri dan negara.


Pada masa sama Ghani turut menyarankan agar sebarang perbezaan yang boleh membelakangi tujuan murni dalam menggalas tanggungjawab mestilah elakkan.


"Utamakan kesaksamaan dalam mensejahterakan masyarakat dan elakkanlah perbezaan khususnya perbezaan parti politik dan sebagainya yang menjadi penghalang untuk berkhidmat dengan adil dan saksama" katanya.


Pada majlis ini, Pusat Khidmat ADUN Nabawan turut menyumbangkan sejumlah RM14,500 dan dua buah kanopi kepada Majlis Gereja- Gereja Daerah Nabawan bagi persiapan sambutan hari Natal pada 25 Disember akan datang.


Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan Hasinin Kinsim, Pemimpin Pembangunan Masuarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai, Ketua Daerah Nabawan Ulin Datuk Pamiang dan Ketua Daerah Kecil Pagalungan Philip Antugi.

Comments


bottom of page