top of page

Perdana Menteri arah tindakan segera tangani isu SK Balaban Jaya

  • nabalunews
  • Apr 11
  • 1 min read

11 April 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri diarah mengambil tindakan segera berhubung isu prasarana daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut memerlukan penyelesaian segera demi memastikan kebajikan serta keselesaan murid sentiasa terpelihara.


“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada KPM dan ICU untuk penyelesaian segera.


“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama, dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau, hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan keadaan pelajar di SK Balaban Jaya yang terpaksa mengikuti kelas di dalam khemah tanpa dinding serta di ruang koridor masjid, berikutan ketiadaan bangunan sekolah kekal yang lengkap.


Laporan itu memetik kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, yang menggesa Kementerian Pendidikan di peringkat negeri dan Persekutuan supaya segera mengambil tindakan sementara menunggu pembinaan sekolah kekal disiapkan.


Sementara itu, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan segera akan diambil termasuk memindahkan sementara murid ke SK Pekan Beluran serta menyediakan pengangkutan ke sekolah berkenaan.


KPM menjelaskan isu ini berpunca dari kerosakan pada sebahagian infrastruktur yang diakibatkan oleh pergerakan tanah dan cerun, menjadikan sekolah tidak berada dalam keadaan selamat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page