top of page
nabalunews

Perdana Menteri lancarkan inisiatif “Kita Gempur”

19 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini melancarkan inisiatif baharu kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) untuk melibatkan seluruh rakyat dalam memastikan usaha membanteras manipulasi dan ketirisan barangan kawalan dapat ditangani.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif yang dikenali sebagai KITA GEMPUR dilancarkan ketika Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Pekarangan Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah.


Ia adalah satu langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.


Ini termasuk usaha mengekang penipuan perniagaan dalam talian (e-dagang), membanteras monopoli bermasalah dan kewujudan kartel dalam bentuk pakatan harga, pasaran, pengeluaran serta tipuan bida.


Selain memperkasa aspek penguatkuasaan, gerakan ini juga akan memberikan fokus kepada advokasi kepenggunaan dan advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-Berkat).


Dalam usaha menggerakkan agenda di bawah inisiatif ini, gerakan KITA GEMPUR menyasarkan kepada keterlibatan massa dan kebersamaan

pelbagai pemegang taruh meliputi (K) agensi Kerajaan, (I) pemain Industri, (T) pematuhan Tatakelola dan (A) partisipasi Awam.


Melalui sinergi yang diwujudkan, ia akan mengukuhkan kerjasama antara rakan strategik dengan penguat kuasa KPDN agar satu sistem pengawasan dan pelaporan yang lebih bersepadu dapat dilaksanakan.


Menerusi gerakan ini, KPDN telah mewujudkan platform pelaporan khusus yang boleh diakses menerusi imbasan kod QR (Quick Response) yang

menyediakan beberapa saluran rasmi bagi mengemukakan aduan kepada KPDN, iaitu melalui :


i. WhatsApp - 019-848 8000;

ii. Talian hotline yang beroperasi 24 jam - 03 8882 6088 / 6245; dan

iii. saluran aduan #HapusKartel yang dikendalikan oleh MyCC -


Pada masa yang sama, sebagai langkah memaksimumkan penglibatan awam,

KPDN akan memilih beberapa tempat seperti pasar raya, premis perniagaan, dan stesen minyak seluruh Malaysia yang akan dijadikan sebagai titik tumpuan pelaporan aduan.


Kod QR KITA GEMPUR akan dilekatkan di lokasi-lokasi terbabit sebagai langkah untuk memudahkan penglibatan awam untuk melaporkan sebarang kes salah laku secara terus, mudah dan pantas.


Kewujudan lokasi titik tumpuan ini akan memastikan setiap aduan yang disampaikan dapat disalurkan melalui platform yang tepat, sekali gus memudahkan proses penyelesaian dan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan.


KPDN menggesa masyarakat untuk bersama-sama menyokong inisiatif KITA GEMPUR dan menjadi sebahagian daripada gerakan massa agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara dapat dibanteras.

Comments


bottom of page