Sabah perlu tampil blok bersatu, perkuat kuasa tawar-menawar menjelang PRU16
- nabalunews
- 11 hours ago
- 2 min read

2 Mac 2026
KOTA KINABALU: Kenyataan Datuk Armizan Mohd Ali bahawa Sabah perlu berani menentukan hala tuju politiknya sendiri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) wajar diterjemahkan melalui kesatuan dan kekuatan blok parti tempatan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, pendirian tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu mencerminkan realiti politik semasa negara.
Katanya, ia menyaksikan tiada lagi satu gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan Persekutuan secara bersendirian dengan majoriti kukuh, sekali gus meletakkan Sabah pada kedudukan strategik sebagai penentu.
“Dalam landskap politik baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabah tidak seharusnya lagi berada pada posisi sebagai pelengkap atau penumpang kepada mana-mana gabungan dominan, sebaliknya perlu tampil sebagai satu blok yang bersatu, kukuh dan mempunyai kuasa tawar-menawar jelas.
“Dalam keadaan politik yang semakin dinamik, Sabah mempunyai peluang besar untuk menentukan pendirian sendiri. Namun ia hanya boleh dicapai sekiranya parti-parti tempatan bersatu dan memperoleh jumlah kerusi yang signifikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Yazid yang juga penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan pendekatan ‘Sabah First’ bukanlah bersifat memisahkan diri daripada Persekutuan, sebaliknya prinsip memperjuangkan kepentingan negeri secara tegas dan berstrategi dalam kerangka Malaysia.
Katanya, setiap bentuk kerjasama politik perlu berteraskan kepentingan rakyat Sabah, termasuk aspek pembangunan, peruntukan, infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta pelaksanaan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sabah First bermaksud kita meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan dalam setiap rundingan dan keputusan politik. Agenda Sabah tidak boleh lagi sekadar disebut, tetapi mesti diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan konkrit di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa kecenderungan rakyat menyokong parti tempatan dalam pilihan raya lalu merupakan isyarat jelas bahawa mereka mahukan kepimpinan yang benar-benar memahami keperluan dan cabaran negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin politik Sabah agar mengetepikan perbezaan dan memperkukuhkan kesepakatan bagi memastikan negeri ini bukan sahaja menjadi penentu pembentukan kerajaan, malah berupaya memastikan kepentingannya dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
“Jika kita bersatu dan memiliki kekuatan kerusi yang besar, Sabah akan dihormati sebagai rakan strategik dalam pembentukan kerajaan Persekutuan, bukan lagi sekadar pengikut arus politik Semenanjung,” katanya.















Comments