Perdana Park dibuka semula selepas sebulan ditutup akibat serangan memerang
24 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Perdana Park di Tanjung Aru, yang sebelum ini diarahkan tutup lebih sebulan susulan insiden tiga pengunjung diserang memerang ketika beriadah di taman rekreasi itu, September lalu, kini dibuka semula kepada orang ramai.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah memberikan kebenaran untuk pembukaan semula Perdana Park selepas pihak berkuasa mengesahkan bahawa haiwan berkenaan tidak membawa penyakit yang boleh berjangkit kepada manusia.
"Pada mulanya, kita menutup taman rekreasi itu ekoran kebimbangan bahawa memerang tersebut mungkin membawa penyakit yang boleh berjangkit kepada manusia, terutamanya jika digigit haiwan itu. Namun, hasil pengesahan daripada jabatan berkenaan menunjukkan bahawa memerang sebenarnya tidak membawa penyakit," jelas Dr Sabin.
Beliau menambah pihak DBKK mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang penyakit yang dibawa oleh memerang mungkin boleh menular jika berlaku gigitan.
Namun setakat ini, tiada bukti menunjukkan memerang membawa sebarang penyakit yang berbahaya. Oleh itu, taman kini selamat untuk dibuka semula," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Perdana Park yang terkenal sebagai tempat beriadah dan bersenam, diarahkan ditutup serta-merta bagi memastikan keselamatan pengunjung
setelah insiden serangan oleh sekumpulan memerang yang menyebabkan kecederaan kepada tiga pengunjung pada 11 September lalu.
Sabin juga memaklumkan bahawa walaupun DBKK sudah membenarkan pembukaan semula, taman tersebut belum dibuka sepenuhnya kerana masih ada kerja-kerja penyelenggaraan yang perlu diselesaikan oleh pengurusan Perdana Park.
댓글