Perintah Larangan Dikeluarkan Dalam Kes Buli Zara Qairina
nabalunews
Aug 20, 2025
1 min read

20 Ogos 205
KOTA KINABALU: Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, di sini, hari ini, mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) berhubung kes buli yang melibatkan Zara Qairina Mahathir.
Peguam mewakili keluarga mangsa, Hamid Ismail berkata, perintah itu dibuat mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, yang melarang media menyiarkan laporan atau imej kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
“Kami memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi apa yang berlaku. Kami hanya mematuhi undang-undang.

“Jangan salah faham, ini bukan usaha untuk menutup atau melindungi sesiapa, sebaliknya ia adalah kewajipan undang-undang bagi menjaga keselamatan dan identiti kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah hari ini.
Terdahulu, prosiding dijalankan di hadapan Hakim Elsie Primus manakala pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Nor Azizah Mohamad.
Manakala bagi peguam bela pula diwakili Peguam Ram Singh, Joan Goh, dan Elmer Prem Gunasan untuk tertuduh pertama.
Empat lagi tertuduh pula diwakili oleh peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh, dan Sylvester Kuan.
Sementara itu, prosiding dijalankan secara tertutup dengan hanya pendakwa raya serta barisan peguam tertuduh dibenarkan berada dalam kamar mahkamah.
Semua lima tertuduh dilihat tiba menaiki kenderaan polis bercermin gelap dan memasuki mahkamah melalui laluan khas berikutan kawalan keselamatan di kompleks mahkamah juga diperketatkan.















Comments