Perjanjian ART Malaysia-AS tertakluk undang-undang, tatacara domestik - AGC
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

4 November 2025
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kewajipan dan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) tertakluk kepada undang-undang serta tatacara domestik negara, sekali gus menjamin kedaulatan dan kepentingan negara terus terpelihara.
Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), Artikel 7.2 ART memperuntukkan bahawa perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas kedua-dua pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan proses perundangan domestik berkaitan telah selesai.
Katanya, perjanjian itu antara lain turut memperuntukkan rundingan dengan suci hati antara Malaysia-AS untuk isu berkaitan pelaksanaannya sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang satu lagi berdasarkan Artikel 7.4(2) ART.
“Malaysia juga mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis kepada AS tanpa perlu mendapatkan persetujuan negara itu berdasarkan Artikel 7.5 ART.
“Semua perlindungan ini bertujuan untuk mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa,” kata jabatan itu dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut AGC, di bawah Artikel 7.1 ART, Malaysia dan AS sebagai negara ahli dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan terus mengiktiraf hak dan kewajipan masing-masing serta perlindungan diperuntukkan di bawah Perjanjian WTO, yang menetapkan piawaian perdagangan antarabangsa.
Tambah kenyataan itu, perjanjian yang dimeterai 26 Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu merupakan platform dua hala bagi Malaysia dan AS dalam menyelesaikan isu perdagangan, khususnya melibatkan pengurangan tarif yang dikenakan ke atas Malaysia.
Perjanjian itu merupakan cadangan AS untuk merunding semula tarif import daripada 25 peratus di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025, kepada kadar baharu ditetapkan iaitu 19 peratus.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah merunding perjanjian ini dengan penglibatan kementerian dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab ke atas bidang berkaitan.
“Dalam hal ini, keputusan dasar perlu dibuat dan MITI telah mendapat mandat Jemaah Menteri yang membuat keputusan muktamad setelah mengambil kira peruntukan perjanjian, temasuk aspek ekonomi, politik dan perundangan,” jelas kenyataan itu.


















Comments