Perjuangan harus diterjemah dalam dasar dan inisiatif Kerajaan - Ewon
- nabalunews
- 10 hours ago
- 3 min read

17 Mei 2025
KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, perjuangan parti dan aspirasi rakyat harus diterjemahkan dalam bentuk dasar dan inisiatif kerajaan yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, perjuangan sebenar bukan sekadar slogan dan retorik tetapi perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
“UPKO akan terus menyatakan pandangan dan menjadi sebahagian daripada penyumbang ke arah pembinaan Persekutuan Malaysia serta masa depan Sabah yang lebih baik.
“Kita mulakan tanggungjawab ini melalui kepimpinan dalam kementerian dengan memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara melalui perspektif KUSKOP.
“Dasar ini kita wujudkan untuk melihat keperluan dan cabaran di Sabah dan Sarawak yang berbeza dengan cabaran di Semenanjung dan mencari ikhtiar terbaik supaya rakyat di Borneo tidak berasa terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan UPKO, di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Ewon berkata, beliau juga memastikan agensi-agensi di bawah kementeriannya memberikan perkhdimatan menyeluruh dan melaksanakan banyak inisiatif yang bersesuaian dengan keperluan Sabah dan Sarawak. Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk skim usahawan tamu, Premis Tamu Desa dan skim pembiayaan industri kraf.
“Ini adalah amanah dan aspirasi rakyat Sabah yang saya pegang mewakili parti UPKO, mewakili Sabah dalam kerajaan persekutuan,” katanya.
Ewon berkata, perjuangannya bermula dengan mandat yang diberikan kepada rakyat Kadamaian dan Penampang serta kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk menerajui kementerian.
“Kita mulakan dengan tanggungjawab, kita berjuang, berbincang, berunding dan mengambil tindakan berasaskan prinsip perjuangan yang konsisten selama ini.
“Sudah tentu masih banyak yang perlu diperjuangkan dalam konteks pembangunan keusahawanan dan koperasi di Sabah dan Sarawak. Namun dengan pendekatan dan kerjasama menyeluruh antara kerajaan persekutuan dan negeri, kita mampu membina Malaysia dan Sabah yang lebih baik,” katanya.
Ewon berkata, perjuangan UPKO dalam kerajaan bukan retorik semata-mata sebaliknya diterjemahkan secara jelas melalui dasar, program dan belanjawan tahunan kerajaan.
“UPKO ingin bekerjasama dengan semua pihak yang boleh membawa kepada kemajuan dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, di mana sahaja mereka berada.
“Ini termasuk usaha kita membawa usahawan dan kopearsi ke pasaran antarabangsa supaya produk tempatan kita tidak hanya dijual dalam negara tetapi turut mendapat tempat dalam pasaran antarabangsa,” katanya.
Mengulas semangat perpaduan, Ewon berkata: “Panggil lah apa sahaja slogan untuk meniup semangat perpaduan, UPKO tidak ada halangan, apa yang penting UPKO ingin melihat perpaduan sebenar, perjuangan yang boleh diterjemahkan dalam program dan dasar kerajaan”.
Beliau berkata, sambutan Pesta Kaamataan bukan sahaja simbol kesyukuran atas hasil tuaian pertanian tetapi turut menjadi wadah meraikan pencapaian dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kerjaya, perkhidmatan awam, korporat, gerakan keusahawanan dan koperasi.
“Dalam kita memartabatkan warisan kebudayan, kita harus raihkan Pesta Kaamatan sebagai simbol kejayaan dan hasil perjuangan berterusan.
“Antara perjuangan kita ialah untuk menjayakan tujuan negara Malaysia ditubuhkan 62 tahun yang lepas di mana Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu bersetuju menandatangani Perjanjian Malaysia sehingga ditubuhkan negara baru yang dinamakan Malaysia.
“Daripada banyak perkara yang kita perjungkan selama ini, 13 perkara yang dibincang berkaitan tuntutan pelaksanaan Perjanjian Malaysia sudah selesai dan dimuktamadkan sepenuhnya. Ini adalah fakta.
“Daripada 13 perkara yang telah diselesaikan itu, 9 perkara telah diselesaikan oleh kerajaan hari ini iaitu Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan, pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor,” katanya.
Ewon berkata, sebagai presiden UPKO, beliau berbangga kerana parti itu berada dalam kabinet kerajaan persekutuan dan membantu memuktamadkan 9 perkara yang telah diperjuangkan selama 62 tahun.
“Sudah tentu ini juga pencapaian dan kejayaan yang perlu kita raikan bersama, tuaian perjuangan yang perlu kita raikan dalam sambutan Pesta Kaamatan,” katanya.
Beliau berkata, masih ada tuntutan-tuntutan lain yang harus diperjuangkan.
“Sebab itu UPKO ingin mengajak perpaduan dan kerjasama semua rakyat Malaysia khususnya rakyat Sabah dan para pemimpin negeri ini supaya terus bersatu padu,” katanya.
Comentários