top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perjuangan tidak terhenti walaupun Mahiaddin letak jawatan: Solidariti Rakyat



19 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sekretariat Solidariti Rakyat mahu Perdana Menteri yang akan dilantik perlu mempunyai fokus, idea, kemahuan dan keberanian untuk memastikan rakyat Malaysia dibela setelah sekian lama ditindas oleh kerajaan yang asyik berpolitik tetapi mengendahkan kemahuan rakyat.


Sekretariat Solidariti Rakyat juga menuntut agar bakal Perdana Menteri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong (YDPA) harus melalui proses berpandukan Perlembagaan Persekutuan.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Solidariti Rakyat itu, keabsahan bakal Perdana Menteri yang baru harus dibuktikan melalui undi percaya di Parlimen dan bukan menggunakan surat akuan yang tidak telus, mengendahkan mandat rakyat yang memilih ahli-ahli Parlimen kawasan mereka.


“Berpandukan situasi semasa dan peletakan jawatan oleh Mahiaddin, maka kami membuat keputusan tidak meneruskan untuk turun ke jalan pada 21 Ogos ini.


“Namun demikian, Sekretariat Solidariti Rakyat ingin menegaskan bahawa perjuangan #LAWAN ini tidak akan terhenti. Proses pendemokrasian serta semak dan imbang kepada kerajaan wajib diteruskan.


“Kami tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan lebih banyak aksi jikalau kerajaan baru yang akan dibentuk gagal untuk melaksanakan tanggungjawab memastikan negara ini aman daripada pandemik dan kemelut politik dangkal,” kata kenyataan itu, hari ini.


Justeru, Sekretariat Solidariti Rakyat menggesa semua pemimpin kembali semula ke ruang sebenar demokrasi berparlimen bagi membincangkan polisi-polisi serta tindakan selanjutnya untuk memulihkan semula keadaan negara.


Pada 31 Julai lepas, Sekretariat Solidariti Rakyat bersama-sama ribuan rakyat Malaysia turun ke jalan raya menuntut agar Tan Sri Mahiaddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Comentarios


bottom of page