Perjumpaan Abdul Hadi dengan Taliban timbulkan pelbagai persoalan
top of page
  • Farah Salim

Perjumpaan Abdul Hadi dengan Taliban timbulkan pelbagai persoalan



5 Feb 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Perjumpaan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang dengan Wakil tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Taliban, Mohammed Suhail Shaheen, di Doha, Qatar menimbulkan pelbagai persoalan sama ada Malaysia telah mengiktiraf kerajaan Taliban di Afghanistan atau sebaliknya.


Persoalan daripada netizen termasuk ahli-ahli Parlimen itu timbul susulan laporan berita pertemuan Abdul Hadi dengan wakil Taliban, baru-baru ini.


Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, Malaysia belum mengiktiraf kerajaan Taliban secara rasmi.



Sebab itu katanya, adalah tidak masuk akal Hadi menjanjikan bantuan dan pertolongan kepada Taliban.


“Ini bukan polisi kerajaan Malaysia. Polisi luar negara ditentukan oleh Wisma Putra bukan oleh utusan khas,” katanya dalam ciapan Twitternya, hari ini.


Sim Tze Tzin turut mempersoalkan tindakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang tergersa-gesa mengadakan perjumpaan dengan wakil Taliban.


Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming bertanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan mandat kepada Hadi berkenaan perjumpaan itu.


“Agak menarik @MalaysiaMFA (Wisma Putra) tidak menciap sebarang berita berkenaan lawatan @abdulhadiawang ke Qatar termasuklah pertemuannya dengan wakil Taliban ke misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.


Dalam pada itu Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming juga mempersoalkan perjumpaan Hadi dengan pihak Taliban menerusi akaun Twitternya.


“Apa yang PAS cuba lakukan dan apa yang mereka cuba pelajari daripada Taliban dengan menggunakan dana awam kita?


James Chin dalam ciapan Twitternya pula bertanya sama ada Malaysia telah mengiktiraf kerajaan Taliban.


“Adakah Malaysia telah mengiktiraf kerajaan Taliban? Mungkin kerana PAS sekarang bersama kerajaan, jadi tidak hairanlah saya mendapat masalah kerana mengkritik Taliban!


Pak Ngah Shamsul menerusi akaun Twitternya juga mempersoalkan sama ada Hadi mewakili suara majoriti rakyat negara ini atau sebaliknya.


“Jika ianya bertentangan dengan suara rakyat, maka ada sesuatu yang sangat tidak betul dan merosakkan demokrasi kita.


“Nampaknya, kita mempunyai kerajaan yang tidak berfikiran, tiada kesedaran dan tidak berhubung dengan realiti dan keadilan.


“Saya benar-benar percaya @PASPusat yang telah menjadi sebahagian daripada kerajaan adalah faktor utama pelabur asing mengelak Malaysia,” katanya.



Mohammed Suhail melalui ciapan Twitternya berkata dia dan Abdul Hadi membincangkan keperluan Malaysia untuk menyediakan bantuan ekonomi dan kemanusiaan kepada Afghanistan.


“Beliau (Abdul Hadi) berjanji Malaysia akan melakukan apa yang mampu untuk membantu rakyat Afghanistan dalam masa genting ini.


“Kedua-dua pihak menekankan perlunya lawatan delegasi dari kedua-dua negara ke ibu negara masing-masing untuk meningkatkan hubungan bersama,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page