top of page
nabalunews

Perjumpaan semula alumni SMK Narinang, Kota Belud 1985 imbau nostalgia

28 Oktober 2024


KOTA BELUD: Sesi perjumpaan semula atau reunion bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, Kota Belud tahun 1985 di Losok Kadamaian Chalet, Kota Belud pada Sabtu, 26 Oktober lalu bukan sekadar mengimbau memori indah kenangan lalu serta berkongsi cerita setelah sekian lama tidak bertemu, tetapi juga untuk mengeratkan lagi silaturahim antara bekas pelajar serta menghargai jasa-jasa guru yang telah banyak berbudi membimbing dan mendidik mereka.


Sejujurnya, tidak kira berapa lama masa berlalu, kenangan di sekolah akan sentiasa tersemat dalam jiwa dan sanubari kita kerana di sinilah pelajar membina persahabatan, menimba ilmu, dan dididik mengenai erti tanggungjawab serta semangat juang yang akhirnya membentuk diri kita pada hari ini.


Pertemuan ini selepas lebih 30 tahun, pastinya mengingatkan bekas pelajar tentang kenangan indah dan pahit manis sepanjang tempoh persekolahan kerana di sinilah mereka mula mengenal sahabat sejati, guru yang penuh dedikasi, dan pengalaman yang mengajar tentang makna kesabaran, disiplin, dan tekad.


Semua inilah yang membentuk asas kepada siapa diri kita pada hari ini.


Majlis ini dirasmikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Dalam ucapannya, Saikom mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga buat guru-guru yang sentiasa sabar membimbing dan mendidik bekas pelajar.


"Tanpa mereka, kejayaan yang kita kecapi hari ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan.


"Semoga perjumpaan ini menjadi platform untuk kita memperbaharui ikatan persahabatan, saling menyokong, dan sentiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan masing-masing," katanya.


Majlis yang bertemakan "They Will Rock You" ini menampilkan pelbagai acara menarik dan persembahan, termasuk persembahan oleh artis terkenal seperti Felix Agus dan Leles Koronob, yang memeriahkan lagi suasana serta memberi kenangan manis kepada semua alumni yang hadir.

Comments


bottom of page