Perkasakan tadbir urus semak dan imbang di Sabah - EwonPerkasakan tadbir urus semak dan imbang di Sabah - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perkasakan tadbir urus semak dan imbang di Sabah - Ewon


6 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick hari ini mengulangi syor agar Kerajaan Negeri memulakan agenda reform menambahbaik tadbir urus semak dan imbang dengan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa khas di Dewan Undangan Negeri.


“Dalam Sabah Reform Agenda yang kita kemukakan kepada Kerajaan, antaranya ialah penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa khas Dewan bagi setiap kementerian yang ada dan memanjang tempoh persidangan DUN bermula tahun hadapan sesuai dengan pertambahan jumlah Ahli Dewan agar semua urusan dan isu rakyat dapat dibawa ke sini.


“Reform pentadbiran termasuk melibatkan Wakil-Wakil Rakyat di luar Kerajaan dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah. Hampir separuh jumlah Ahli Parlimen Sabah yang ada hari ini berada di luar Kerajaan tetapi apabila mereka bersuara di Dewan Rakyat, mereka menyuarakan kepentingan rakyat Sabah.


“Justeru, wajar untuk melibatkan semua Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN dalam kedua-dua jawatankuasa tersebut,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa membahaskan Belanjawan Sabah 2022 di sidang DUN hari ini.


“Saya juga menghargai komitmen Ketua Menteri menyalurkan peruntukan touchpoint sebanyak RM200,000 setakat ini kepada semua ADUN. Ini memudahkan kita membantu rakyat terutama sepanjang pandemik Covid-19, semasa bencana alam dan membantu aktiviti gotong-royong rakyat.


“Ini merupakan satu reform yang telah diperkenalkan dan boleh diperkasakan lagi,” katanya.

bottom of page