Perkhidmatan awam tetap berjalan seperti biasa - KSNPerkhidmatan awam tetap berjalan seperti biasa - KSN
top of page
  • nabalunews

Perkhidmatan awam tetap berjalan seperti biasa - KSN


Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali

16 Ogos 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Perkhidmatan awam tidak terkesan dengan situasi semasa negara dan tetap akan berjalan seperti biasa, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.


Beliau berkata anggota perkhidmatan awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan Negara.


"Perkhidmatan awam komited mendukung konsep 'neutrality' dan 'government of the day' berlandaskan 'rule of law'.


"Jentera Kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang telah diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh yang sangat mencabar ini," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.


Menurut Zuki, urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan seperti biasa.


Manakala, anggota keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam.


"Segala usaha, bantuan dan inisiatif yang melibatkan peruntukan yang besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menjadi senjata ampuh dalam melawan pandemik COVID-19 ini," tambahnya.


Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri serta 29 Menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.


Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Yang-diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah berkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page