PERKHIDMATAN BAS EKSPRES SELURUH SABAH DIBENAR BEROPERASI MULAI ESOK (14 MAC)
- Wartawan Nabalu News
- Mar 13, 2021
- 2 min read

13 Mac 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri membenarkan sektor pengangkutan awam (Bas Ekspress) di seluruh Sabah beroperasi mulai esok (14 Mac) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Bas Ekspress dibenarkan menjalankan perkhidmatan mengambil penumpang dan barangan seperti biasa (24 jam).
Bagaimanapun katanya, pengusaha hanya boleh mengambil dan menurunkan penumpang di terminal sahaja dan tidak dibenarkan singgah di mana-mana perhentian termasuk restoran.
"Pembelian tiket secara online dan pengunaan kad transaksi bukan tunai seperti konsep pas bulanan dan aplikasi 'touch n go', digalakkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Masidi berkata, antara SOP yang perlu dipatuhi oleh para pengusaha atau pemandu ialah pemandu perlu menjalani saringan gejala dan memeriksa suhu sebelum memulakan tugas dan tidak dibenarkan bertugas sekiranya bergejala, sentiasa memakai pelitup muka sepanjang masa bertugas.
"Manakala penumpang pula perlu menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas, wajib memakai pelitup muka sepanjang masa di dalam kenderaan, mengurangkan interaksi sepanjang masa dalam kenderaan, setiap penumpang yang melintasi zon perlu mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.
"Pemandu dan pengusaha berhak menghalang penumpang menaiki kenderaan sekiranya bergejala," katanya.
Katanya lagi, pengumuman peringatan berkala dalam bas berkaitan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan interaksi.
"Kapasiti bas dihadkan kepada 50 peratus berdasarkan tempat duduk dan memastikan penjarakan fizikal sentiasa dijaga dan penumpang diminta mengurangkan interaksi.
"Pemandu dan penumpang digalakkan mengguna pakai aplikasi QR Code bagi mendaftar setiap kali menggunakan perkhidmatan bas melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual dengan menulis maklumat diri dan nombor telefon.
"Pemandu dan penumpang digalakkan menggunakan hand sanitizer sebelum dan selepas mengambil atau menurunkan penumpang atau penumpang menaiki/ menurun kenderaan," katanya.
Masidi berkata, pengusaha bas juga perlu membuat pembersihan bas dan fasiliti selepas setiap trip serta di terminal setelah tamat waktu operasi.















Comments