top of page

Perkhidmatan feri KK-Labuan kukuh jaringan pengangkutan rentas wilayah

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

Hajiji diiringi Dr Zaliha (kanan) dan Shahelmy (kiri) menandatangani plak pada majlis pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu–Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu pada Selasa
Hajiji diiringi Dr Zaliha (kanan) dan Shahelmy (kiri) menandatangani plak pada majlis pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu–Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu pada Selasa

27 Mei 2025


KOTA KINABALU: Pembukaan semula perkhidmatan feri penumpang antara Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan isyarat jelas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat di Sabah dan Labuan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkhidmatan itu kembali beroperasi selepas beberapa tahun terhenti, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan laut dan membuka semula laluan penting kepada mobiliti rakyat serta perkhidmatan ekonomi rentas wilayah.


“Perkhidmatan ini amat penting kepada rakyat. Ia bukan sekadar laluan perhubungan, tetapi penghubung kekeluargaan, pendidikan, pelancongan dan perniagaan yang telah terjalin sejak sekian lama," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu–Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu pada Selasa.


Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmy Yahya dan Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury.


Hajiji berkata, gangguan perkhidmatan yang berlaku sebelum ini disebabkan beberapa faktor seperti struktur jeti yang tidak selamat, penarikan subsidi minyak kepada pengusaha serta kesan pandemik COVID-19, yang mengganggu kesinambungan mobiliti rakyat.


Katanya, sebagai langkah penyelesaian segera, terminal feri dipindahkan dari Jesselton Point ke Pelabuhan Kota Kinabalu, dengan pengurusan operasi kini dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Pelabuhan Kota Kinabalu.


"Projek ini turut menerima peruntukan RM1.3 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi kerja-kerja penambahbaikan.


“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat termasuk Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Lembaga Pelabuhan-Pelabugan Sabah (LPPS), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kumpulan Suria yang telah berganding bahu merealisasikan inisiatif ini,” katanya.


Hajiji berkata, perkhidmatan feri ini dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri, terutama menjelang Tahun Melawat Sabah 2026.


"Ia juga membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan Labuan", katanya.


Beliau menegaskan bahawa hubungan antara Sabah dan Labuan tidak hanya terbatas kepada aspek geografi, tetapi turut mencakupi sejarah, budaya dan hubungan sosial yang mendalam, menjadikan laluan ini sangat signifikan kepada rakyat kedua-dua wilayah.


Menurutnya, ramai rakyat Sabah bekerja dan menetap di Labuan, dan sebaliknya. Justeru, sambungan semula laluan ini amat bermakna kepada ramai pihak.


Katanya, dengan beroperasinya semula perkhidmatan ini, rakyat kini mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan sama ada menggunakan laluan udara, jalan darat ke Menumbok atau terus melalui feri ekspres dari Kota Kinabalu ke Labuan seperti sebelum ini.


Hajiji berkata, pelancaran ini menandakan permulaan kepada satu rangka kerja pengangkutan laut yang lebih kukuh, cekap dan lestari, sesuai dengan aspirasi negeri untuk menyediakan kemudahan mesra rakyat dan mesra alam kepada generasi akan datang.


Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir akibat kekangan logistik, dan pembangunan infrastruktur akan terus dipacu demi kemajuan inklusif.


“Semoga jeti dan perkhidmatan feri ini menjadi jambatan yang menghubungkan bukan sahaja wilayah, tetapi juga silaturahim, peluang ekonomi dan harapan masa depan rakyat,” katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page