Perkhidmatan pengangkutan keretapi Beaufort - Tenom beroperasi semula
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

2 Ogos 2025
TENOM: Perkhidmatan pengangkutan keretapi Beaufort - Tenom yang tergendala akibat runtuhan tanah disebabkan banjir besar pada 2022, beroperasi semula, Jumaat lalu.
Pengoperasian semula perkhidmatan keretapi itu dilihat bukan saja melegakan penduduk khususnya di Kampung Pangi, Rayoh, Halogilat tetapi juga penduduk di kedua-dua daerah Beaufort dan Tenom.
Pelancaran semula perkhidmatan itu dirasmikan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih bersama rombongan yang hadir ke daerah Tenom bagi merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom di sini pada Jumaat.

Isnin ketika ditemui berkata, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana dapat memulihkan perkhidmatan keretapi yang tertangguh sekian lama.
"Pada awalnya kita menjangkakan ia boleh dipulihkan dalam tempoh singkat tetapi disebabkan beberapa masalah teknikal ia mengalami kelewatan.
“Walaupun bagaimanapun kita bersyukur kerana pada hari ini perkhidmatannya yang sudah sekian lama tertangguh beroperasi semula,” katanya.

Menurutnya, apabila perkhidmatan pengangkutan keretapi ini beroperasi semula dari Beaufort ke Tenom sudah tentu ia memudahkan penduduk yang tinggal di kampung-kampung yang terlibat.
Selain itu katanya, ia menjadi tarikan kepada pelancong dari luar negara kerana ingin merasai suasana keretapi tahun 70an kerana mungkin keretapi yang seumpama ini tiada lagi negara mereka yang sudah jauh lebih maju.
Pada masa sama Isnin menasihatkan pada penduduk yang masih menggunakan troli motosikal agar berhati-hati dan sentiasa merujuk jadual pergerakan keretapi bagi mengelakkan kemalangan.

Bagi seorang penduduk Puan Lainah Landan, mereka kini merasa lega apabila perkhidmatan pengangkutan keretapi beroperasi semula.
Katanya, sejak landasan keretapi mengalami kerosakan tiga tahun lalu, mereka berdepan kesukaran untuk keluar dari Rayoh ke pekan Tenom.
"Kami terpaksa menggunakan pengangkutan alternatif troli motosikal dari Rayoh ke Pangi untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan keretapi ke pekan Tenom" jelasnya.
Seorang lagi penduduk dari Kampung Rayoh Puan Kinakai Rilek turut berkongsi kegembiraan apabila perkhidmatan pengangkutan keretapi Beaufort - Tenom beroperasi semula.
Katanya, lebih kurang tiga tahun yang lalu mereka bergelut dengan pelbagai masalah kerana terpaksa menggunakan pengangkutan alternatif troli motosikal yang tidak menjamin keselamatan mereka.
"Selain kos yang tinggi berbanding tambang keretapi, pernah juga berlaku ada penduduk yang dipatuk ular berbisa sehingga menyebabkan kematian.
“Itulah antara masalah yang kami hadapi dengan menggunakan pengangkutan alternatif troli motosikal" jelas Kinakai.
Justeru itu katanya, mereka berharap supaya pengangkutan keretapi yang sudah beroperasi semula berterusan dan jadualnya konsisten.
Turut berkongsi kegembiraan adalah sekeluarga pelancong dari negara Belanda tidak melepaskan peluang menaiki keretapi pada hari pertama ia beroperasi semula.
Manon Van Hulzen berkata, mereka sangat gembira kerana dapat menaiki keretapi dari Beaufort ke Tenom kerana ia sangat unik.
Menurut Manon, sepanjang perjalanan mereka menikmati suasana keindahan alam semulajadi dengan pemandangan hutan dan sungai.
Manon bersama suami dan tiga orang anak mereka bergegas dari Melangkap Kota Belud sebaik sahaja melihat dan membaca pengoperasian semula perkhidmatan pengangkutan keretapi Beaufort - Tenom melalui talian internet.
Commentaires