top of page

Perkhidmatan Rakyat Keutamaan, Bukan Kebanggaan Jawatan – Jamawi

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


2 April 2026


KOTA KINABALU: Semua agensi kerajaan dan kakitangan awam diminta meletakkan keperluan masyarakat sebagai keutamaan utama berbanding sekadar megah dengan kedudukan masing-masing. Ketegasan itu disuarakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, yang mengingatkan bahawa sesuatu pelantikan dalam perkhidmatan awam membawa tanggungjawab besar untuk memastikan kemudahan sampai kepada golongan sasar, khususnya pekebun kecil dan penduduk luar bandar.


Hadir berucap pada majlis penyerahan watikah pelantikan barisan Pengerusi dan Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Wisma Pertanian di sini, kelmarin, beliau berkata bahawa jawatan bukanlah lambang kebanggaan semata-mata sekiranya perkhidmatan di peringkat akar umbi masih lemah.


“Bukan kita hendak bermegah dengan gelaran, tetapi di peringkat pelaksana gagal memberikan perkhidmatan yang terbaik. Amanah yang diberikan ini adalah untuk memastikan rakyat mendapat layanan yang terbaik,” ujarnya.


Jamawi turut menekankan kepentingan untuk peka terhadap maklum balas orang ramai dengan menggunakan saluran digital seperti media sosial sebagai medium tindak balas yang pantas. Beliau sendiri mengamalkan pendekatan tersebut dengan menyalurkan setiap aduan yang diterima terus kepada pihak pengurusan untuk tindakan susulan.


“Saya terima semua aduan, termasuk menerusi Facebook. Jika ada yang laporkan masalah jalan ladang atau tanah terbiar, saya akan tangkap skrin dan hantar kepada pengurusan. Keesokan harinya, tindakan sudah dilaksanakan. Itulah yang saya harapkan – kita berkhidmat untuk rakyat,” katanya.


Menurut beliau, sebahagian besar penduduk di kawasan luar bandar tidak mengharapkan kemudahan yang kompleks, sebaliknya cuma menginginkan infrastruktur asas yang berfungsi dengan baik bagi menjalani kehidupan seharian. Bantuan yang diberikan akan amat dihargai oleh mereka apabila sampai dengan sempurna.


Beliau menyeru semua pihak agar menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan ketulusan, serta memastikan hasil usaha yang dilaksanakan memberikan kesan nyata kepada kehidupan masyarakat.


“Setiap usaha yang kita laksanakan itu hendaklah memberikan kesan secara langsung, walaupun ia berskala kecil, namun tetap membawa makna kepada penerima,” katanya.


Tambah beliau lagi, pelantikan baharu dalam mana-mana entiti kerajaan perlu dilihat sebagai satu bentuk amanah yang memerlukan komitmen tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page