PERKIM Sumbang Kurma dan Al-Quran kepada Masjid Tambulion Kota Belud
- nabalunews
- Mar 20
- 1 min read

20 Mac 2025
KOTA BELUD: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menyampaikan sumbangan berupa kurma, vitamin C, Al-Quran dan tafsir Al-Quran melalui Koperasi PERKIM Sabah Berhad.
Sumbangan diterima Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimim, dalam satu majlis ringkas, hari ini.
Menurut Carlye, sumbangan tersebut akan diagihkan kepada Masjid Tambulion Kota Belud sempena Majlis Berbuka Puasa Masjid dan Surau Kawasan Kadamaian.
Katanya, program itu akan dihadiri ADUN Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
“Program tahunan ini akan menjadi platform penting untuk ADUN Kadamaian meraikan komuniti Muslim di kawasan tersebut.
“Sumbangan ini akan disalurkan kepada wakil-wakil masjid, surau, dan golongan asnaf yang hadir bagi memastikan bantuan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang juga salah satu agensi di bawah KUSKOP akan turut menyalurkan sumbangan kepada 24 buah masjid dan surau serta 535 golongan asnaf.
“Program seumpama ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat tetapi juga memastikan komuniti Islam di Kadamaian mendapat manfaat sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Comments