top of page

Perkukuh Kerjasama Persekutuan-Negeri Demi Agenda Pertanian dan Keterjaminan Makanan Sabah

  • nabalunews
  • Apr 11
  • 2 min read

11 April 2026


KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus diperkukuh dalam usaha memacu pembangunan sektor pertanian serta memastikan keterjaminan makanan di Sabah.


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, berkata kemajuan sektor pertanian hanya dapat dicapai melalui hubungan strategik dan penyelarasan berkesan antara kedua-dua peringkat kerajaan.


Katanya, perkara berkenaan dibincangkan menerusi kunjungan hormat delegasi kementeriannya kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar, di sini.


“Sesi pertemuan selama dua jam itu berlangsung dalam suasana positif dan konstruktif dengan perbincangan memberi fokus kepada isu-isu utama pembangunan sektor pertanian di Sabah.


“Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan serta menjamin kelangsungan komuniti warga tani di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, dalam pertemuan berkenaan, KPKM juga bersetuju supaya MAFFI berperanan sebagai unit penyelaras bagi Program Pemerkasaan Pertanian dan Makanan Negara (PPAN) yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek pertanian di Sabah.


Chan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pelaksanaan projek lebih terselaras, mengelakkan pertindihan serta mempercepatkan penyampaian manfaat kepada kumpulan sasar.


“Antara perkara utama yang dibincangkan dan dipersetujui termasuk cadangan pembinaan jeti perikanan di Sepanggar dan penanaman jagung bijirin untuk ternakan di Trusan Sapi.


“Begitu juga dengan pembinaan kilang padi di Kota Belud, pembangunan ternakan khinzir di Tongod, naik taraf jalan pertanian serta pengukuhan kawal selia biosekuriti dan profil tanah,” katanya.


Sehubungan itu, Chan turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen serta kerjasama Jamawi dan pihak MAFFI dalam menjayakan agenda pembangunan sektor agromakanan negeri.


“Saya percaya kerjasama erat seperti ini amat penting bagi memastikan agenda keterjaminan makanan negara dapat diterjemahkan secara berkesan di peringkat negeri, dengan mengambil kira keperluan tempatan serta potensi besar Sabah,” katanya.


“Jalinan kerjasama strategik antara KPKM dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus diperkukuh demi manfaat petani, penternak, nelayan serta seluruh rakyat negeri ini,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page