top of page

Perlembagaan ada mekanisme jelas tangani salah laku hakim – Azalina

  • nabalunews
  • Jul 15, 2025
  • 2 min read

15 Julai 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan mengingatkan semua pihak bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan mekanisme yang jelas untuk menangani salah laku hakim.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perkara 125(3) dan (4) memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku hakim.


Katanya, hakim yang disiasat juga boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri setelah berbincang dengan Ketua Hakim Negara.


“Selain itu, Perkara 125(3A) memperuntukkan kuasa kepada Ketua Hakim Negara untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman.


“Perkara 125(3B) pula membolehkan penetapan kod etika bertulis bagi menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti hakim," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.


Dalam pada itu, katanya 'Judges’ Code of Ethics 2009 [P.U.(B) 201/2009], yang telah berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009, turut menjadi rujukan penting untuk menetapkan standard tingkah laku hakim secara jelas dan berlandaskan undang-undang.


Azalina berkata, kerangka etika itu bertujuan memastikan badan kehakiman bebas daripada sebarang pengaruh politik atau luaran, sekali gus menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.


“Proses ini bermakna badan eksekutif dan badan legislatif tidak boleh campur tangan dalam isu etika kehakiman, dan kebebasan ini penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya.


Azalina berkata, kerajaan juga mengambil maklum akan kebimbangan yang dibangkitkan Badan Peguam dalam himpunan mempertahankan integriti kehakiman dan menegaskan komitmen untuk menangani isu ini secara bertanggungjawab dan telus, berpandukan Perlembagaan.


Katanya, sebagai usaha meningkatkan ketelusan dalam prosedur pelantikan Hakim Mahkamah Atasan, Kajian Perbandingan Sistem Pelantikan Kehakiman turut dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) secara bersama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas dari Dewan Negara dan Dewan Rakyat.


"Kajian ini untuk memberikan kejelasan yang lebih baik mengenai peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan pada masa sama menangani sebahagian isu yang turut dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia.


“Kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan semua pihak termasuk Badan Peguam Malaysia, yang juga akan dijemput menyertai kajian terbabit bagi memastikan sistem pelantikan hakim yang lebih telus, berintegriti dan diyakini rakyat,” katanya.


Selain itu, katanya isu dibangkitkan Badan Peguam Malaysia wajar dilihat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.


Justeru, kerajaan menyeru semua pihak untuk terus menghormati peranan dan proses perlembagaan yang menjadi teras kepada kebebasan badan kehakiman negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page