top of page

Perlindungan pekerja bakal diperluas 24 jam sehari

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read

ree

30 Oktober 2025


PUTRAJAYA: Perlindungan keselamatan sosial semua pekerja formal akan diperluas secara menyeluruh kepada 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sekali gus memanjangkan liputan melebihi waktu bekerja biasa.


Menurut Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), langkah itu akan dilaksanakan melalui pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24/7 yang merupakan inisiatif terbaharu di bawah LINDUNG Pekerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).


Bagi melaksanakan langkah tersebut, katanya, bacaan pertama Rang Undang-Undang bagi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] telah dibentangkan di Dewan Rakyat.


“Pelaksanaan Lindung 24/7 ini dijangka memberi manfaat kepada 10 juta pekerja sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu kerja di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa.


“Dalam era kerja fleksibel dan jarak jauh, pembaharuan ini bertujuan menyesuaikan perlindungan dengan realiti kehidupan serta corak pekerjaan masa kini, sambil mengiktiraf bahawa kemalangan dan kecederaan boleh berlaku pada bila-bila masa,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.


Melalui Skim Lindung 24/7, pekerja formal akan menerima pelbagai faedah termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan.


Menurut Kesuma, pengenalan skim itu bukan sahaja meningkatkan perlindungan kepada pekerja dan keluarga mereka, malah membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam negara dengan memastikan mangsa kemalangan mendapat bantuan kewangan dan pemulihan sewajarnya.


Berdasarkan rekod Perkeso bagi tahun 2018 hingga 31 Ogos 2025, sebanyak 26,865 kes tuntutan telah ditolak kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja, situasi yang kini dapat diatasi melalui pelaksanaan Lindung 24/7.


“Bacaan kedua dan ketiga Pindaan Akta 4 akan dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan dibahaskan di Parlimen Disember ini.


“Pindaan akta ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap pekerja di Malaysia sentiasa dilindungi, setiap masa dan di mana jua mereka berada,” tambah kementerian itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page