Permohonan DNAA Ahmad Zahid berlandas undang-undang - AGC
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

22 Disember 2025
PUTRAJAYA: Keputusan untuk memohon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi, dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, permohonan tersebut yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi dua tahun lalu adalah berdasarkan keadaan semasa ketika itu, termasuk keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut.
Jabatan itu merujuk kepada laporan sebuah portal berita hari ini yang menyatakan satu permohonan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang mengeluarkan perintah DNAA terhadap Ahmad Zahid.
“Permohonan semakan kehakiman tersebut membangkitkan isu berkaitan kemajuan dan hasil siasatan yang dirujuk ketika permohonan DNAA dibuat.
“Jabatan ini maklum perkara ini melibatkan persoalan penting berkaitan keyakinan awam serta pentadbiran keadilan yang wajar.
“Memandangkan perkara ini kini berada di bawah pertimbangan mahkamah, jabatan ini tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung merit permohonan tersebut,” menurut kenyataan itu.
AGC memaklumkan, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses pengadilan, serta menangani perkara itu melalui saluran undang-undang yang ditetapkan dan mematuhi sebarang arahan atau keputusan mahkamah.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.














